DISIFATKAN sebagai ibu segala pilihan raya, kehangatan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal berlangsung pada 19 November ini pastinya mengundang debaran kepada rakyat Malaysia.
Bukan sahaja penentuan besar kepada calon bertanding dan parti yang bakal berentap, nasib serta lembaran masa hadapan negara juga dipertaruhkan pada PRU kali ini.
Segalanya bergantung kepada persoalan siapa yang akan mencorak hala tuju negara untuk dipacu terus cemerlang di persada dunia.
Oleh itu, perkembangan semasa menjelang penamaan calon dan tempoh berkempen bakal menjadi perhatian masyarakat umum dari dalam dan luar negara.
Maklumat terkini senario dunia politik negara bakal disajikan oleh Kumpulan Karangkraf yang tidak ketinggalan melaporkan berita-berita mutakhir oleh akhbar Sinar Harian dan Sinar Harian Online serta portal bahasa Inggeris, Sinar Daily.
Penerbit Sinar Harian, Nur Syahirah Zulkifli berkata, Kumpulan Karangkraf mempunyai pelbagai platform media bagi menyebarkan maklumat terkini secara tulus dan telus kepada orang ramai.
Katanya, menyedari kepentingan keluar mengundi pada PRU kali ini, pelbagai usaha giat dijalankan oleh Kumpulan Karangkraf bersama rakan strategik termasuk daripada pasukan Rasuah Busters.
Menurutnya, pada 18 Oktober lalu, Rasuah Busters melancarkan inisiatif kempen #SatuJari Bebas Rasuah sebagai simbolik daripada jari jutaan impian rakyat Malaysia yang mengharapkan perubahan terhadap kemakmuran Malaysia.
“Seiringan dengan itu, Rasuah Busters menerbitkan sebuah program diberi nama Kompas Edisi Khas sempena PRU15 dengan mengetengahkan gandingan hos Sam Ghani dan Asmaliza Mansor.
“Program 30 minit itu akan membawakan beberapa figura hebat antaranya Datuk Hussamuddin Yaacub, Tan Sri Prof Emeritus Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, Lando Zawawi, Senator Datuk Ras Adiba Radzi, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah dan beberapa nama besar yang lain,” katanya kepada kru Rasuah Busters.
Mengulas lanjut, Nur Syahirah berkata, program 26 episod terbitan Sinar Harian itu akan bersiaran secara langsung bermula dari 25 Oktober hingga 19 November depan.
**media[1954292]**
Beliau berkata, kesemua siri Kompas Edisi Khas sempena PRU15 itu akan bersiaran pada jam 4 petang setiap hari.
Jelasnya, program Kompas Edisi Khas itu distrim secara langsung di YouTube, Facebook dan beberapa lagi platform media sosial Sinar Harian.
Katanya lagi, penyiaran program di bawah gerakkan Rasuah Busters itu turut bertujuan mengajak seluruh rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang bergabung dalam sebuah harapan baharu untuk kestabilan negara.
Dengan penerbitan program itu, menurutnya, pelayar-pelayar media sosial Sinar Harian dapat didedahkan dengan pelbagai kupasan menarik dan berupaya menyampaikan mesej betapa pentingnya nilai satu jari setiap pengundi bagi membawa perubahan kepada negara.
“Harapan kami adalah untuk membentuk sinergi rakyat Malaysia bersolidariti di atas kapasiti masing-masing demi mempertingkatkan sistem nilai dalam diri setiap rakyat di negara ini.
“Semua ini demi menyelamatkan negara tercinta daripada musnah akibat perbuatan rasuah serta salah guna kuasa, yang mengakibatkan ketirisan dalam sistem pengurusan harta negara,” kata beliau.
Selain itu, apa yang menarik dan unik melibatkan Kompas Edisi Khas adalah kerusi yang digunakan sepanjang program tersebut diadakan.
“Kerusi yang digunakan untuk semua program khas ini adalah kerusi yang sama dan dibawa ke mana-mana sesi pengambaran berlangsung.
“Signifikan kerusi sama digunakan adalah bertujuan memberi gambaran bahawa semua tetamu yang diundang untuk menjayakan program khas itu adalah dilayan sama rata,” kata Nur Shahirah.
Beliau memberitahu, ia bertujuan untuk menggambarkan bahawa semua individu penting yang diundang dalam program itu berada dalam satu kedudukan yang sama dan mampu untuk bagi mengajak orang ramai keluar mengundi dan memilih calon atau pemimpin yang bersih pada PRU15.