Pelancaran Generasi Bebas Rasuah di Universiti Malaya bersempena Program dan Kuliah Awam Tema 1 di UM pada Sabtu.Edmund Terence ketika menyampaikan ucapan
Mencipta Rasuah Sistemik: Politik, Kuasa, Dasar sempena Pelancaran Program dan Kuliah Awam Tema 1 di Universiti Malaya pada Sabtu.
SHAH ALAM – Pelantikan pemimpin politik menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan menimbulkan pelbagai mudarat antaranya kecenderungan untuk menyalahgunakan kuasa demi kepentingan politik dan peribadi.
Menegaskan perkara itu, pakar ekonomi dan politik, Dr Edmund Terence Gomez berkata, mengambil contoh pelantikan Setiausaha Agung UMNO yang baharu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), tindakan itu akan menimbulkan pelbagai konflik berkepentingan.
Ujarnya, hal ini disebabkan sejarah telah membuktikan bahawa wujud pemimpin politik yang dilantik memegang jawatan GLC dan menyalahgunakan kuasa.
“Saya tidak bersetuju dalam isu lantikan politik ini… Mara memainkan peranan yang penting dalam bidang perniagaan dan pendidikan, hasrat Mara sendiri adalah untuk membantu golongan yang memerlukan dan ‘tempat’ untuk orang miskin dan luar bandar.
“Apabila kita mengambil seorang ahli politik dan dimasukkannya ke dalam Mara, ada kecenderungan untuk menyalahgunakan kuasa demi kepentingan politik dan perkara ini akan kita ketahui beberapa bulan lagi apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan di enam negeri,” katanya kepada Rasuah Busters pada Sabtu di Universiti Malaya (UM).
Beliau terdahulu menjadi panel program siri kuliah umum pertama Generasi Bebas Rasuah anjuran Agora Society Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaya Students Union dan Rasuah Busters.
Selain beliau turut bersama sebagai panelis adalah bekas Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Devaraj, Pengarah Eksekutif dan Pengasas Bersama Inisiatif Utara-Selatan Adrian Pereira serta Profesor Madya Ekonomi di Asia School of Business, Dr Melati Nungsari.
**media[2139422]**
Tegas Edmund, sewajarnya jawatan itu diisi oleh golongan profesional dan bukannya daripada golongan elit politik.
“Mesti profesional dan perlu dijelaskan bagaimana pemilihan dibuat, sebab dilantik dan ia perlu dihebahkan kepada rakyat supaya kita tahu bahawa lantikan itu dijalankan secara telus untuk menjaga kepentingan rakyat.
“Mengapa seorang ahli politik daripada UMNO diambil untuk memegang jawatan ini? Kita sudah tahu dari sejarah Malaysia, ada ahli politik yang memegang peranan ini telah menyalahgunakan kuasa mereka. Contohnya ada skandal melibatkan Mara, adakah ini akan berlaku sekali lagi? Itu yang saya bimbang,” katanya.
Asyraf yang juga Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan dilantik sebagai Pengerusi Mara berkuat kuasa Jumaat lalu.
Sementara itu, menyentuh mengenai usaha kerajaan memecah unsur monopoli di negara ini, Edmund berkata, ‘perkara itu satu langkah yang baik’.
“Ia akan mewujudkan persaingan yang sihat dan memberi pilihan kepada rakyat, keuntungan akan berbalik kepada rakyat juga,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang mengkaji semula semua monopoli yang wujud di dalam negara pada masa ini sebagai langkah untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan adil kepada rakyat pada kos yang berpatutan.