
SHAH ALAM – Kerajaan disaran melantik perunding bebas bagi memantau pelaksanaan projek pembangunan secara sistematik dalam usaha membanteras ketirisan dan amalan rasuah yang sering berlaku dalam proses perolehan serta pemberian tender.
Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, amalan rasuah dalam proses perolehan kerap berlaku kerana melibatkan jumlah kewangan yang besar selain kesukaran untuk memantau secara menyeluruh berkenaan perbelanjaan.
“Dalam aspek ini, sifat jujur dan profesional sangat penting untuk dibudayakan bagi mengelakkan ketirisan dalam pelaksanaan projek.
“Tidak dinafikan juga, jumlah ketirisan agihan projek dan amalan rasuah sentiasa tinggi sehingga memerlukan disiplin penyiasatan sistematik serta strategi efektif dalam meneliti dan memantau kontrak pembinaan yang semakin moden,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini, dua penjawat awam pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang dan seorang pemilik syarikat direman empat hari bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan projek pemasangan lampu isyarat dan lampu jalan sejak 2016.
Perintah tahanan reman terhadap kesemua suspek dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Georgetown selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa.
Dalam pada itu, Zairudin berkata, antara langkah proaktif yang boleh diambil bagi mengelakkan kes seumpama itu berulang ialah dengan memperkukuhkan sistem integriti, termasuk melaksanakan sistem pengurusan antirasuah yang menepati piawaian antarabangsa serta memperkasa pasukan pemeriksa dalaman dalam agensi kerajaan.
“Untuk mengelakkan rasuah berlaku terutamanya apabila melibatkan tender atau projek kerajaan sebegitu, ketua jabatan atau agensi mesti melakukan kajian yang serius mengenai risiko rasuah dalam jabatan atau agensi.
“Paling penting adalah ketua jabatan atau agensi mesti memastikan peraturan kewangan tidak dimanipulasi demi untuk mempercepatkan sesuatu proses perolehan,” ujarnya.
Jelas beliau, salah satu indikator yang boleh dikaitkan dengan perlakuan rasuah dalam kalangan penjawat awam adalah gaya hidup mewah dan pemilikan harta berlebihan yang tidak sepadan dengan pendapatan sebenar.
Susulan itu, beliau menyarankan agar ketua jabatan atau agensi memberi perhatian khusus terhadap warga kerja yang menunjukkan tanda sedemikian supaya tindakan awal dapat diambil sekiranya wujud unsur yang mencurigakan.
Zairudin turut menekankan kepentingan pembangunan modal insan jujur dan beretika tinggi, yang menurutnya perlu diterapkan sejak peringkat pendidikan rendah hingga ke institusi pengajian tinggi bagi membentuk masyarakat yang berintegriti.