Home Rasuah Busters Lahirkan negara bebas rasuah

Lahirkan negara bebas rasuah

0
Lahirkan negara bebas rasuah

SHAH ALAM – Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) bersedia mewujudkan satu jaringan Rasuah Busters dan menjadi ejen perubahan dalam usaha melahirkan sebuah negara bebas rasuah serta terkenal dengan nilai integriti.

Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, pihaknya akan menggerakkan semua ahli untuk bersama-sama membawa mesej melawan dan menjauhi rasuah di semua peringkat di seluruh negara.

“UNI-MLC telah memutuskan untuk menjadi anggota Coalition of the Willing Rasuah Busters dan akan mengadakan program serta aktiviti yang berkaitan bagi memupuk nilai-nilai positif yang boleh membantu setiap rakyat menjauhi rasuah.

“Kami juga akan memastikan Malaysia benar-benar bebas daripada amalan rasuah,” katanya pada sesi dialog bersama Rasuah Busters yang diadakan secara dalam talian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohamed Shafie berkata, usaha menyeluruh juga perlu dipergiatkan bagi memastikan isu integriti dan rasuah melibatkan sektor awam serta swasta dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, usaha memerangi isu tersebut perlu dilaksanakan secara konsisten kerana jutaan rakyat dan pekerja berhadapan dengan kerugian besar berikutan rasuah yang dilakukan oleh segelintir pihak.

“Amalan rasuah dan ketirisan nilai berintegriti juga perlu dihapuskan segera supaya ia tidak memudaratkan negara serta rakyat dengan teruk lagi. Kini masa untuk kita berganding bahu dan bertindak bersama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, masing-masing perlu memutuskan rantaian rasuah dengan mengambil tindakan yang menyeluruh sejak dari peringkat kecil.

Tambah beliau, pekerja dan kesatuan sekerja juga boleh memainkan peranan dalam usaha membanteras amalan rasuah yang berlaku ketika ini.

“Komitmen UNI-MLC untuk menjadi ejen perubahan merupakan sesuatu yang amat baik. Saya yakin sekiranya semua pihak berganding bahu dengan Rasuah Busters, kita boleh menjadi sebuah negara yang bebas rasuah.

“Kita juga perlu memulakan reformasi untuk memupuk sistem nilai dan sistem moral yang kental dalam diri setiap rakyat negara ini,” ujarnya.

Rasuah Busters adalah sebuah gerakan kempen untuk membanteras rasuah di Malaysia sama ada peras ugut, kronisme, memberi sogokan untuk mendapatkan perlindungan dan salah guna kuasa serta penyelewengan dana.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here