SEGAMAT – Kesungguhan Rasuah Busters melaksanakan gerak kerja turun padang bagi menyampaikan mesej antirasuah kepada orang ramai merupakan tindakan tepat perangi budaya kotor tersebut.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Haslinda Salleh berkata, secara peribadi sangat menyokong penuh usaha yang dilakukan oleh pasukan Rasuah Busters bersama rakan gabungan demi membersihkan negara daripada budaya rasuah.
Katanya, perbuatan baik seumpama itu seharusnya disokong dan didokong oleh seluruh lapisan masyarakat, sekali gus mengelak negara daripada musnah ekoran perbuatan rasuah.
“Usaha dan gerakan yang diusahakan oleh pasukan Rasuah Busters bersama rakan gabungan perlu disambut baik kerana ia membawa satu matlamat baik untuk membebaskan negara daripada budaya rasuah.
“Rasuah perlu dihapuskan kerana perbuatan jijik ini akan memusnahkan masa depan negara sekiranya terus dibiarkan merebak dan jadi barah.
“Sekiranya negara ini berjaya dibebaskan dari rasuah, ia bakal mencerminkan keperibadian masyarakat Malaysia yang benci amalan rasuah dan berintegriti,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui melakukan kempen bertemu pengundi di kawasan DUN Tenang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Turut sama berkempen di DUN Tenang ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Yazid bersama jentera BN Perak.
Proses berkempen di DUN Tenang mendapat sokongan jentera berkempen daripada BN Perak.
Mengulas perkembangan kempen BN di Tenang, Haslinda berkata, pihaknya bersyukur apabila semua urusan berjalan lancar.
Menurutnya, selain bertemu pengundi secara bersemuka, pihak jentera juga mengadakan ‘walkabout’ di kedai, menghadiri majlis kahwin serta melawat anak muda yang bertanding dalam sukan futsal.
Katanya turut menumpukan golongan muda atau Undi 18 yang dilihat bakal menjadi ‘king maker’ pada PRN kali ini.
Jelasnya, anak muda perlu diberi pendedahan lebih mendalam tentang dunia politik kerana kumpulan tersebut mempunyai masa lebih panjang untuk terlibat dengan politik negara.
“Mereka sebagai anak muda yang akan menentukan masa depan negara yang lebih gemilang dengan menstabilkan dunia politik negara.
“Apabila semua ini dapat dicapai, maka ekonomi Malaysia akan menjadi lebih kuat dan membolehkan rakyat hidup dengan harmoni.
“BN adalah parti yang mampu merealisasikan semua harapan dan tanggungjawab tersebut dengan menawarkan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.