SHAH ALAM- Konvoi jelajah #RasuahBusters akan diteruskan ke utara tanah air iaitu Perak dalam misi menyampaikan mesej kesedaran membangunkan #NilaiMoralKarakterBangsa bermula 22 hingga 24 Mei ini.
Bagaimanapun, berbeza dengan konvoi sebelum ini, konvoi kali ini memfokuskan dengan berjumpa pemegang taruh di lapangan seperti pegawai daerah, ketua-ketua kampung serta agensi yang berkaitan.
Ketua Jabatan Pemasaran Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, antara aktiviti yang akan dilakukan adalah bertemu dan berbincang dengan pihak terlibat dan berkongsi cara bagaimana untuk mengukuhkan lagi persefahaman dan kerjasama untuk menentang rasuah.
“#RasuahBusters ini sudah bermula setahun lalu dan untuk tahun kedua, kita fokus kepada pemegang taruh. Tahun pertama, kita tumpu kepada mewujudkan kesedaran kepada akar umbi tentang pentingnya untuk semua orang ambil tanggungjawab membanteras rasuah.
“Perbezaannya dengan sebelum ini, kita pergi dan dekati rakyat ke daerah-daerah tapi konvoi kali ini lebih kepada fokus berjumpa dengan pemegang taruh di kawasan-kawasan yang kita lawati dan berjumpa guru-guru ‘influencer’. Daripada situ, kita akan berdiskusi dan buat perbincangan untuk memperkukuhkan lagi program anti rasuah dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Konvoi jelajah #RasuahBusters sebelum ini telah bergerak ke lima negeri untuk menyampaikan kesedaran tentang tadbir urus yang baik dan integriti dengan melancarkan kempen kesedaran dan menjayakan aktiviti lapangan.
Tambah Nik Justin, konvoi kali ini turut mendapat kerjasama Sinar Harian, yang akan menganjurkan program Wacana Sinar di Mat Periuk Cafe, Taman Canning, Ipoh pada 23 Mei jam 8.30 malam dan boleh disaksikan di semua platform media sosial Sinar Harian.
Selain itu, Program Live Kafe Rasuah Busters akan turut dijalankan, dengan menampilkan tokoh-tokoh dari Perak.
“Kita harapkan rakyat Perak nantikan ketibaan pasukan #RasuahBusters, kerana banyak input menarik dan penting yang ingin kita sampaikan dalam memperluaskan lagi kempen penentangan terhadap budaya rasuah,” ujarnya.