SHAH ALAM – Rasuah Busters terus melebarkan sayapnya dengan mengadakan Konvoi #RasuahBusters Pantai Timur iaitu di Kelantan dan Terengganu bermula 6 Ogos sehingga 12 Ogos ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, konvoi kali ini menyasarkan para pemimpin, pihak berkuasa, pelajar, pemegang taruh bagi memenuhi enam kempen utama #RasuahBusters.
“Kita mahu menjalinkan kolaborasi bersama dalam pemulihan dan pembangunan negara yang sihat daripada segala aspek.
“Perjalanan ini membina harapan kepada masyarakat umum agar kita bersama melakukan semampu mungkin pada kapasiti masing-masing agar jangan berputus asa untuk melihat negara ini bebas daripada belenggu rasuah,” katanya kepada Rasuah Busters pada Selasa.
Enam kempen Rasuah Busters ialah Pendidikan#MalaysiaTanpaRasuah;Kerajaan#MalaysiaTanpaRasuah;Pilihanraya#MalaysiaTanpaRasuah;Bisnes#MalaysiaTanpaRasuah;Belia#MalaysiaTanpaRasuah;Agamawan #MalaysiaTanpaRasuah.
Dalam pada itu tegasnya, besar harapannya supaya konvoi ini dapat meningkatkan peranan rakyat dalam menjadi ejen pembanterasan rasuah.
“Kita mahu menyampaikan kepada rakyat pendedahan dan maklumat tentang keperluan pembaharuan undang-undang yang merupakan usaha semua pihak dalam mengambalikan kestabilan dan memperteguh sistem demokrasi negara.
“Ia sekali gus dapat memberi kefahaman konteks rasuah dan impaknya kepada diri, keluarga dan negara,” tegasnya.
Katanya, kerosakan yang ditangani lebih awal akan berupaya membendung norma rasuah daripada terus membudaya dan menjadi penyakit sosial yang meruntuhkan negara.
“Jadi pertemuan #RasuahBusters bersama orang ramai di pelbagai peringkat mengajak orang ramai bergandingan tangan dan bahu bersama-sama agar endemik ini dapat dinokhtahkan.
“Ketika ini vaksin bagi virus rasuah memerlukan solidariti dan keikhlasan seluruh anggota masyarakat dan wakil-wakil rakyat untuk dicegah di peringkat paling dasar daripada terus menular,” jelasnya.
Katanya, antara objektif lain, pihak #RasuahBusters mahu memperkasakan pemegang taruh organsasi dan institusi agar sokongan bersepadu di semua peringkat ekosistem dapat digembeleng dalam mengangkat moral dan integiriti sebagai inti kemakmuran dan keberkatan kepada pembangunan ekonomi, sosial dan rohani negara.
“#RasuahBusters juga memberi penekanan kepada integriti dan sahsiah golongan belia untuk sedar akan risiko dan bahaya rasuah bermula diperingkat sekolah dan institut pengajian tinggi.
“Komunikasi dua hala yang berlangsung melalui sesi-sesi dialog, perkongsian dan sebagainya diharap menjadi pencetus kepada bangkitnya generasi kepimpinan berintegriti di Malaysia,” katanya.