Home Rasuah Busters Klinik Bina Modul Rasuah Busters cegah, perangi rasuah

Klinik Bina Modul Rasuah Busters cegah, perangi rasuah

0
Klinik Bina Modul Rasuah Busters cegah, perangi rasuah
Dari kiri: Muhammad Miqdam. dan Mohd Zikrul.

SHAH ALAM – Usaha Rasuah Busters menganjurkan Klinik Bina Modul merupakan langkah proaktif menggalakkan orang ramai turut sama terlibat dalam mencegah dan memerangi budaya rasuah daripada terus menular.

Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (Pemuda GEMA), Muhammad Miqdam Mohd Rashid berkata, penganjuran program seumpama itu adalah inisiatif tepat mengajak masyarakat umum untuk lebih cakna dan berusaha mencari jalan mengekang budaya rasuah.

Menurutnya, rasuah merupakan masalah sosial yang perlu diambil berat oleh semua pihak dan menjadi kewajipan semua individu untuk menolak sekeras-kerasnya perbuatan jijik itu.

Katanya, meskipun agak mustahil untuk menyelesaikan budaya rasuah dalam tempoh ‘satu hari’, namun permulaan kepada usaha-usaha memeranginya perlu dilakukan secara komprehensif.

“Klinik Bina Modul Rasuah Busters bukan sahaja bertujuan mencari jalan penyelesaian kepada negara tetapi ia juga membantu peserta untuk memahami lebih mendalam tentang aspek integriti dan salah guna kuasa.

“Maka semua pihak perlu berganding bahu bagi memastikan kempen antirasuah dapat digerakkan dengan lebih jaya dan usaha memberi pemahaman jelas terhadap integriti dapat dipertingkatkan kepada masyarakat terutama golongan sasar.

“Oleh sebab itu, penganjuran Klinik Bina Modul Rasuah Busters ini antara usaha yang sangat baik untuk mencari jalan penyelesaian mencegah orang ramai terlibat dengan rasuah, seterusnya menjadikan Malaysia lebih maju tanpa rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penganjuran Klinik Bina Modul Rasuah Busters bertajuk Pembinaan Teras Generasi Malaysia Berintegriti di Media Karangkraf pada Ahad.

Sementara itu, jurulatih perniagaan, Mohd Zikrul Hakim Noor berkata, Klinik Bina Modul yang dianjurkan oleh Rasuah Busters itu seharusnya dilaksana dan diperkembangkan kepada orang ramai pada sebelum-sebelum ini.

Mohd Zikrul Hakim atau lebih dikenali sebagai Coachakim berkata, perkara itu bukan sahaja sangat penting bagi pembinaan modul yang tepat tetapi seni pembinaan modul itu sendiri perlu dititik beratkan kerana ia kerangka utama menghasilkan solusi terbaik.

Katanya, bimbingan daripada pakar bagi menghasilkan modul terbaik bakal menjadikan solusi yang diperhalusi secara perbincangan terbuka dapat diguna pakai di peringkat pelaksanaan negara.

“Perkara melibatkan isu integriti adalah perkara penting kerana ia sangat berkait rapat dengan agenda menjayakan pembangunan utama negara.

“Sekiranya masalah integriti, budaya rasuah serta salah laku terus berleluasa, negara akan berhadapan dengan isu ketirisan yang besar dan perkara ini boleh membantutkan pembangunan negara.

“Oleh sebab itu, usaha berterusan perlu dilakukan termasuk menghasilkan modul-modul terbaik mencegah rasuah bagi memastikan masyarakat menolak dan mengamalkan antirasuah serta mempunyai integriti tinggi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here