Home Rasuah Busters ‘Kita mudah sangat menyalahkan Tuhan’

‘Kita mudah sangat menyalahkan Tuhan’

0
‘Kita mudah sangat menyalahkan Tuhan’

SHAH ALAM – Punca berlakunya sesuatu khususnya banjir di dalam negara tidak sepatutnya hanya disandarkan atas faktor alam kerana setiap langkah pembangunan yang dijalankan turut menyumbang kepada risiko kejadian tersebut

Presiden Pertubuhan alam sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), Mohd Yusaimi Md Yusof berkata, setiap pembangunan yang dijalankan sememangnya mendedahkan sesuatu tempat kepada kemungkinan berlakunya risiko bencana.

“Kita ni mudah sangat menyalahkan Tuhan (apabila berlaku bencana). Bencana ini berlaku semua kerana hujan, kepala air, dan ‘act of god’. Sedangkan dalam Surah Ar-Rum ada kata kerosakan itu berlaku kerana tangan manusia.

“ALLAH dah bagi peringatan. Dah jadi, takkan kita nak salahkan Tuhan lagi?,” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk Rasuah, Hutan dan Banjir yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Rabu.

Turut menjadi panelis dalam program diacarakan oleh Nurhayati Nordin ialah Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Fazrul Ismail.

Mengulas lanjut, Mohd Yusaimi berkata, sebagai negara yang terdedah kepada risiko bencana banjir, pembangunan dilakukan termasuk dalam aspek pembangunan kesedaran dan pendidikan sepatutnya harus disediakan bagi menangani isu tersebut

“Kita pernah lihat sekolah buat persiapan untuk banjir. Yang ada pun cuma kebakaran. Sedangkan di Jepun kita tengok setiap pelajar sekolah itu didik untuk bagaimana bertindak apabila berlaku gempa bumi.

“Jadi sepatutnya kita dah tahu ini ialah potensi bahaya (bencana banjir). Ada pembangunan pesat di lembangan sungai dan baru-baru ini pula kita lihat ada satu laporan mengatakan ada lembangan sungai telah dibangunkan.

“Maka, itu kita menempah masalah. Patut kita dah tahu negeri kita banjir, kita kena ambil langkah pencegahan untuk benda ini. Kena ada persiapan, pendidikan dan sebagainya,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, untuk mengatasi masalah tersebut, perlu lebih memainkan peranan dan peka mengenai perancangan pembangunan yang dilakukan di sekitar kawasan mereka.

Katanya, rakyat harus berani kerana mereka mempunyai hak untuk mendapat maklumat mengenai impak pembangunan tersebut terhadap kehidupan dan tempat tinggal mereka.

“Rakyat kena bangkit dan tahu mengenai haknya dalam konteks pembangunan negara sama ada di hutan atau kawasan pamah. Maknanya bagaimana hak kita ini nak dilindungi oleh undang-undang dan kita kena bersuara.

“Kalau tidak sampai bila-bila hanya alam akan disalahkan,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang dalam isu pembangunan di semua kawasan juga perlu dijadikan panduan dan dihormati serta dipatuhi oleh semua pihak tanpa sebarang kompromi.

“Jangan ada yang ini (satu pihak) kena saman tapi yang ini (pihak lain) tidak kena saman. Peraturan itu harus adil kepada semua orang.

“Masalah kita di Malaysia ini bila kita sebut rasuah ini adalah dekat (bahagian) penguatkuasaan. Kalau nak sebut rasuah, jangan kita anggap rasuah itu dari segi duit semata-mata, tidak kuatkuasa peraturan dan dilaksanakan dengan dua darjat itu juga salah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here