Home Rasuah Busters Kesedaran benci rasuah meningkat

Kesedaran benci rasuah meningkat

0
Kesedaran benci rasuah meningkat
Hussamuddin dalam wawancara khas bersama Sinar Harian.

SHAH ALAM – Selepas setahun setengah gerakan #RasuahBusters dilancarkan, kesedaran rakyat untuk membenci dan memerangi rasuah dilihat semakin meningkat apabila ramai antara mereka ketika ini berbicara soal rasuah secara terbuka.

Ketua Pasukan #RasuahBusters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, rakyat pelbagai kaum di negara ini sudah mula faham bahawa rasuah berlaku akibat kereputan nilai dan moral.

Beliau menegaskan, kereputan nilai dan moral yang berlaku di Malaysia sudah parah hinggakan segelintir pemimpin tidak malu untuk lompat parti, tidak malu rompak hak rakyat dan tidak malu menipu untuk raih kepentingan tertentu.

“Apabila rakyat semakin faham, pemimpin tak ada pilihan mereka dan perlu buka mata untuk lihat inilah yang rakyat mahukan iaitu sebuah negara yang boleh memberikan mereka kemudahan pendidikan yang baik, hospital dengan fasilitinya lengkap, pengangkutan dengan tarafnya sesuai untuk sebuah negara membangun.

“Malah, kita lihat sekarang parti-parti politik pun menggunakan antirasuah sebagai agenda utama untuk menyelamatkan negara ini daripada belenggu ekonomi, sosial dan nilai,” katanya dalam wawancara khas di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini.

Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf itu memberitahu, kesemua parti politik semakin sedar bahawa yang rakyat mahu dengar dan lihat adalah parti yang bebas daripada rasuah.

Menurutnya, kes penyelewengan berprofil tinggi yang menyaksikan hukuman penjara dijatuhkan kepada pemimpin negara menjadikan topik rasuah muncul sebagai perbualan hangat dan memberi pengajaran kepada masyarakat.

Hussamuddin, bagaimanapun memberitahu, dari segi sasaran yang diletakkan pihaknya untuk menghalang perbuatan rasuah itu dari berlaku, setakat ini belum dicapai.

“Kita boleh capai kalau kita betul-betul faham agama masing-masing dan untuk orang Islam, kita berpegang kepada al-Quran yang dibantu sunnah.

“Jadi kalau orang Islam faham apa hak dan tanggungjawab mereka, kita akan bebas untuk membuat keputusan yang tepat dan tidak dipengaruhi oleh manusia.

“Solusinya juga kita tidak boleh taksub dengan manusia kerana dalam agama, kita diajar dengan jelas bahawa kita tidak boleh ikut orang yang tidak betul,” tambahnya.

**media[1894856]**

Beliau menjelaskan, soal taksub itu dibangkitkan kerana orang Melayu dilihat sangat taksub dengan ketua atau pemimpin hinggakan walaupun golongan itu membuat kesalahan, rakyat tetap menyokong selain turut berlaku campur tangan banyak pihak dalam sistem kehakiman.

“Jangan kerana ketaksuban, kita sanggup mengetepikan keadilan dan kedaulatan undang-undang di negara ini. Itu mencabul hak demokrasi; hak kita sendiri sebagai rakyat.

“Mencampuri sistem kehakiman adalah sebesar-besar kezaliman kerana ia akan mengorbankan keadilan dan meruntuhkan benteng terakhir rakyat untuk mencegah korupsi,” tegas beliau.

Ditanya lanjut tentang solusi yang perlu rakyat lakukan untuk menolak rasuah sebagai lambang negara benar-benar merdeka, Hussamuddin berkata, roh kemerdekaan yang dilaungkan 65 tahun lalu oleh Perdana Menteri pertama,Tunku Abdul Rahman Al-Haj perlu dikembalikan agar rakyat bebas daripada apa-apa sahaja belenggu.

Untuk itu, katanya, rakyat perlu menjadi manusia yang sensitif dengan sebarang salah laku rasuah atau apa saja bibit-bibit yang membuka peluang rasuah selain perlu memupuk rasa curiga dan hati-hati supaya tidak terjerumus ke lembah kebinasaan.

“Identiti Malaysia sekarang hanya boleh dipulihkan dengan memberi kembali sinar kepada #NilaiMoralKarektorBangsa negara ini dengan memerdekakan diri daripada rasuah.

“Belajarlah bahawa kuasa, harta atau pangkat, ia tidak akan kekal,” ujarnya.

Justeru itu, sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022, Hussamuddin mewakili pasukan #RasuahBusters mengajak seluruh rakyat untuk bertekad memutuskan rantaian rasuah dengan melahirkan barisan kepimpinan baru yang berintegriti dan membersihkan gejala itu di peringkat akar umbi.

“Selamat Hari Kemerdekaan kepada seluruh rakyat Malaysia. Jom kita sama-sama bertekad memerdekakan negara daripada rasuah. Kita jadikan Malaysia tanpa rasuah,” katanya.

Kempen #RasuahBusters dilancarkan Hussamuddin pada 16 Januari tahun lalu bagi membangkitkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia untuk bersama-sama memerangi dan menghapuskan rasuah.

Gerakan rakyat kepada rakyat itu turut mengangkat tema ‘Mak Kata Jangan’ memandangkan ibu merupakan individu cukup istimewa yang mengajar anak untuk menilai perkara baik dan buruk untuk diikuti serta dijauhi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here