Home Rasuah Busters Kes rasuah sukar ditentukan: Tricia

Kes rasuah sukar ditentukan: Tricia

0
Kes rasuah sukar ditentukan: Tricia

SHAH ALAM – Selagi tiada akta pembiayaan dana politik di negara ini, kes-kes melibatkan rasuah mungkin sukar untuk ditentukan kerana tiada undang-undang yang jelas, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tricia Yeoh.

Ujarnya, pelaksanaan akta tersebut amat penting supaya kedua-dua pihak iaitu rakyat dan ahli politik tahu membezakan apa yang dibenarkan dan apa yang dilarang.

“Saya rasa kita semua menerima hakikat bahawa parti politik memerlukan dana untuk operasi mereka.

“Tetapi soalannya ialah apakah cara mereka menerima dana tersebut, dan sekarang ini apa yang kita tahu adalah di negara kita tidak ada undang-undang atau peraturan yang menyatakan ada aktiviti dibenarkan dan ada aktiviti yang tidak dibenarkan.

“Jadi itu lah yang menjadi situasi yang sangat mengelirukan,” katanya ketika program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Akta Pendanaan Politik, Solusi Integriti’ yang disiarkan di platform digital Rasuah Busters dan Sinar Harian pada Rabu.

Program itu turut menampilkan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai panelis manakala Nurhayati Nordin bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Tricia berkata, isu dana sering timbul terutamanya apabila berlakunya kempen pilihan raya sama ada kecil atau besar.

“Dana itu didapatkan daripada mana, dibelanjakan ke mana dan semua ini ada kaitan dengan rasuah. Jadi selagi negara kita tidak ada akta dana pembiayaan politik, kes-kes rasuah mungkin tidak akan diambil kira sebagai kes rasuah sebab tiada undang-undang tersebut.

“Memang akan (sentiasa) ada jalan untuk melakukan korupsi. Tetapi kita adakan satu akta dahulu dan apa yang terkandung di dalam itu kita boleh bincangkan selepas itu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here