SHAH ALAM – Persatuan Animasi Malaysia (Animas) menjalin kerjasama strategik dengan Rasuah Busters dalam memastikan kesedaran rasuah dapat disampaikan dengan lebih meluas kepada seluruh masyarakat di negara ini.
Setiausahanya, Shamsaimun Ezil berkata, kolabarasi bersama ini diharap dapat menggemakan gelombang penolakan rasuah, menerusi platform industri kreatif animasi yang akan memperbanyakkan lagi karya menolak perbuatan jijik berkenaan.
Kami dalam industri bersama-sama berjuang membetulkan apa yang tidak elok terutamanya rasuah. Kami melihat keperluan untuk membanteras rasuah ini perlu bermula daripada akar umbi, dan dari situ kita akan lihat perubahan.
“Dengan terjalinnya kerjasama bersama Rasuah Busters, kami dapat melaksanakan peranan dan tanggungjawab untuk menyampaikan kesedaran dan bahaya rasuah kepada kanak-kanak di seluruh Malaysia,” katanya kepada Rasuah Busters pada Jumaat.
Terdahulu, Animas hadir mengadakan kunjungan hormat terhadap Rasuah Busters di Bangunan Kumpulan Karangkraf, di sini.
Turut hadir dalam pertemuan itu, Presidennya, Amir Hamzah Hashim; Bendahari, Mohd Asrol Sani Othman; Exco Acara dan Kebajikan, Khairul Rizal Jalani dan Exco Komunikasi Media, Faizal Mukhtar.
Tambahnya lagi, besar harapannya supaya semangat kebersamaan ini dapat membuahkan hasil dalam usaha melahirkan Malaysia tanpa rasuah.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia-#RasuahBusters, Nurhayati Nordin berkata, kerjasama itu dilihat akan dapat mengangkat nilai integriti dan antirasuah di negara ini.
“Saya lihat industri animasi ini mempunyai potensi yang besar di mana pihak yang mempunyai bakat dan kreativiti dalam menyebarkan maklumat-maklumat mengenai kesedaran dan bahaya rasuah,” katanya.