Home Rasuah Busters Kerajaan disaran gubal dasar awam

Kerajaan disaran gubal dasar awam

0
Kerajaan disaran gubal dasar awam

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menggubal dasar awam yang inovatif untuk membendung pelaku amalan rasuah sekali gus menghentikan jenayah itu daripada terus berleluasa di Malaysia.

Pemegang kursi profesor di Institut Jenayah dan Kriminologi HELP Universiti, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, pembaharuan polisi dan undang-undang yang lebih baik perlu diadakan bagi memastikan mereka yang terlibat dengan rasuah tidak akan terus melakukannya.

Menurutnya, kes-kes rasuah berprofil tinggi dan jenayah ekonomi yang merangkumi kegiatan penyeludupan yang berleluasa memburukkan lagi persepsi bahawa wujud rasuah peringkat tertinggi dalam sektor awam di negara ini.

“Kegiatan penyeludupan yang teruk seperti pasaran rokok seludup menjadi masalah besar di Malaysia disebabkan oleh rasuah.

“Mereka yang diberi tanggungjawab menguatkuasakan dan menghalang kegiatan penyeludupan telah gagal dan didakwa mengalih pandangan mereka bagi memudahcara para penjenayah,” katanya pada Jumaat.

Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE) cawangan Malaysia itu mengulas laporan Indeks Persepsi Rasuah 2020 (CPI) terbaharu yang menunjukkan Malaysia telah jatuh enam anak tangga, daripada kedudukan ke-51 kepada ke-57 dalam penarafan global.

Beliau yang juga bekas Presiden Transparency International Malaysia berkata, penurunan penarafan jelas menggambarkan kelemahan kehendak politik dan lemahnya usaha antirasuah bagi menangani permasalahan ini.

Apa yang lebih membimbangkan, kata beliau, ialah sindiket penyeludupan rokok dan terrorisme adalah saling berkait.

Beliau berkata, ekonomi bawah tanah itu adalah ancaman kepada ekonomi dan kedaulatan negara, tambah menyemarakkan rasuah dan menghakis integriti pegawai penguatkuasaan.

“Duit besar yang dijana daripada dagangan rokok seludup kemudiannya diguna bagi membayar lebih ramai orang yang tidak beretika bagi membantu kelancaran jenayah tersebut dan menghalang pegawai penguatkuasa yang jujur dan berdedikasi daripada membanteras pemasalahan penyeludupan rokok secara berkesan.

“Ia satu kitaran ganas yang tiada kesudahan menjerumuskan Malaysia menjadi nombor satu di dunia untuk penjualan rokok seludup,” ujarnya.

Beliau turut memperakui pengumuman Jabatan Kastam Diraja Malaysia baru-baru mengenai rekod rampasan tertinggi yang dicatat pada tahun 2020.

“Walau bagaimanapun, di sebalik kerja keras dan kegigihan para pegawai kastam kita, amat jarang kita mendengar pesalah atau sindiket penyeludupan rokok ditangkap, didakwa atau dijatuhkan hukuman,” katanya.

Katanya, di sebalik peningkatan rampasan, tahap rokok seludup kekal tinggi.

Baru-baru ini, dilaporkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencatat sejumlah 2,104 kes membabitkan rokok kontraban bernilai RM74.97 juta, membabitkan cukai atau duti sebanyak RM661.90 juta.

Ia pertambahan 84.41 peratus dari segi bilangan rokok dirampas, peningkatan 83.41 peratus dari segi nilai rokok dirampas dan peningkatan 84.41 peratus dari segi duti dan cukai.

Katanya, untuk membanteras permasalahan rokok seludup, kerajaan wajar pertimbangkan untuk menggubal polisi-polisi yang menangani masalah di peringkat akar permasalahan ini.

“Beberapa penggubal undang-undang dan pakar ekonomi telah menyarankan agar diwujudkan polisi khusus supaya diperkenalkan harga rokok yang lebih rendah bagi melawan permintaan ke atas rokok seludup.

“Cadangan itu masuk akal, kerana rakyat terutama golongan miskin, akan membeli produk-produk yang jauh lebih murah tetapi masih memenuhi kehendak mereka, yang mana penjenayah tumpukan dan eksploitasikan,” tambah beliau.

Beliau turut menyarankan organisasi seperti JKDM supaya mewujudkan budaya integriti yang lebih mapan.

“Memperkasakan pegawainya boleh membantu memupuk budaya bertanggungjawab. Oleh itu membolehkan amalan terbaik dilaksanakan, menghalang rasuah, meminimumkan risiko dan memacu pematuhan,” jelasnya.

Beliau berkata, polisi atau dasar yang ditambah baik dan inovatif yang menutup motif untuk individu atau organisasi daripada terlibat dalam amalan rasuah boleh berperanan penting menambah baik Barometer Umum Rasuah Malaysia (GCB) selain CPI di masa hadapan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here