SEGAMAT – Kempen Ejen Meow di seluruh negeri Johor berjalan lancar apabila misi memberi makan kepada ‘si bulus’ berjaya disempurnakan oleh petugas Rasuah Busters.
Pegawai Perhubungan Strategik Rasuah Busters, Wan Normi Hasan berkata, tanpa mengira waktu, petugas Rasuah Busters bertindak mencari kumpulan kucing jalanan dan memberi makan kepada haiwan yang menjadi kesayangan orang ramai.
Menurutnya, lebih daripada 20 ekor kucing jalanan berjaya diberi makan sepanjang tiga hari pasukan Rasuah Busters berada di bandar Tangkak, Segamat dan Muar.
“Bagi menyempurnakan misi Ejen Meow, bekalan makanan kucing akan sentiasa berada dalam kenderaan pasukan Rasuah Busters sepanjang konvoi di seluruh Johor Darul Takzim.
“Gerakan memberi makan kepada si bulus ini akan terus berlangsung sehingga hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini, sekali gus menjayakan kempen Ejen Meow menyebar mesej antirasuah kepada orang ramai,” katanya pada Isnin.
Mengulas lanjut, Wan Normi berkata, petugas Rasuah Busters menggunakan pelbagai kaedah dan cara terbaik untuk memujuk si kucing jalanan menjamu selera.
Jelasnya, sebagai kucing jalanan, sifat takut kepada manusia tetap ada dan haiwan itu berusaha menjauhkan diri apabila didekati biarpun sebenarnya haiwan tersebut sedang kelaparan.
Begitupun katanya, kesungguhan petugas Rasuah Busters memberi makan kepada si bulus tetap diteruskan biarpun berdepan pelbagai cabaran.
Untuk itu katanya, ruang bebas diberikan kepada kucing jalanan tersebut untuk datang menjamu selera.
“Begitu jugalah untuk memerangi budaya rasuah di negara ini yang telah berakar umbi sekian lama.
“Kita perlu bersabar untuk mendekati orang ramai bagi menyampaikan mesej antirasuah dan menggunakan strategi betul dalam memperbetulkan sistem yang pincang dalam pengurusan negara,” ujarnya.