Home Rasuah Busters Bukan cakap kosong perangi rasuah: Yoong

Bukan cakap kosong perangi rasuah: Yoong

0
Bukan cakap kosong perangi rasuah: Yoong

SEGAMAT – Bukan sekadar benci malah usaha memerangi rasuah diletakkan dalam manifesto bagi memastikan tiada sebarang penyalahgunaan kuasa terus berlaku di negara ini.

Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis, Yoong Thau berkata, bagi merealisasikan rasa benci terhadap budaya jijik rasuah, usaha menzahirkan kesungguhan dirinya menentang budaya rasuah diletakkan di dalam manifestonya.

Katanya, usaha menentang amalan buruk itu perlu digerakkan ekoran budaya rasuah telah mencapai tahap yang sangat membimbangkan di negara ini.

“Saya berpendirian tegas berhubung isu rasuah kerana ia sangat merosakkan negara dan membuatkan rakyat menjadi susah.

“Atas sebab itu, manifesto saya ada menyentuh isu rasuah yang semakin membimbangkan dan sangat melampau berlaku dalam masyarakat.

“Dengan meletakkan agenda perangi rasuah sebagai keutamaan, maka saya dapat bersuara untuk rakyat menolak budaya rasuah,” katanya ketika ditemui di bilik gerakan PKR DUN Pemanis, dekat sini.

Turut sama berada di bilik gerakan PKR DUN Pemanis itu ialah Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail.

Mengulas lanjut, Yoong Thau berkata, kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir perlu ikhlas berkhidmat dan telus menguruskan hal ehwal kewangan negara.

Menurutnya, bukan sekadar melepaskan ‘batuk di tangga’ semasa berkhidmat, namun apa yang lebih penting adalah memastikan hak orang ramai tidak dibolot oleh kumpulan pemimpin yang rakus terlibat dengan perbuatan rasuah.

Jelasnya, perbuatan menyalahguna kuasa bukan sahaja melibatkan kumpulan pemimpin tertinggi negara, sebaliknya turut membabitkan kumpulan penjawat awam di peringkat bawahan.

Sebagai contoh katanya, isu tender yang dibuka kepada pihak kontraktor atau pemaju dan peruntukan diuruskan secara tidak telus.

“Apa yang rakyat mahukan adalah pengurusan melibatkan peruntukan di peringkat bawah diuruskan secara telus termasuk projek atau tender yang dibuka kepada orang ramai.

“Saya mahu memastikan semua urusan melibatkan dana kerajaan ini dibuat secara telus dan tiada unsur rasuah.

“Apabila ada melibatkan unsur rasuah, maka kualiti projek yang dibina demi kemudahan orang ramai akan berkurangan kerana peruntukan yang diberikan telah ‘dirompak’ pihak tertentu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here