Home Rasuah Busters Kembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen

Kembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen

0
Kembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen
Rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk ‘Reformasi Parlimen: Ubah Sebelum Parah’ yang dihoskan Asmaliza Mansor disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Sabtu.
Badlishah Sham Baharin

SHAH ALAM – Reformasi Parlimen dengan cara mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen yang dimansuhkan sejak 1992, penting demi menjadikan institusi Parlimen berfungsi lebih baik seterusnya menghidupkan sistem demokrasi yang sebenar di negara ini.

Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia, Badlishah Sham Baharin berkata, akta itu juga membolehkan tiga cabang kuasa yang wujud di Malaysia iaitu Parlimen, kuasa eksekutif iaitu kerajaan dan institusi kehakiman lebih bebas melaksanakan fungsi masing-masing sekali gus memberi kelebihan kepada rakyat.

Menurutnya, suruhanjaya perkhidmatan Parlimen yang dicadang diwujudkan bawah akta itu mampu menjadikan Parlimen sebagai institusi yang bebas, berintegriti dan dapat melakukan pengawasan terhadap kerajaan dengan lebih baik melibatkan proses semak dan imbang.

“Melalui akta ini juga kita nak cuba wujudkan supaya bajet yang Parlimen perlukan untuk melaksanakan kerjanya dengan lebih baik dibuat oleh Parlimen sendiri bukan oleh eksekutif (Kementerian Kewangan) termasuk memberi kebebasan mengambil pekerja Parlimen selain dalam kalangan kakitangan awam.

“Ini penting kerana dengan kebebasan Parlimen untuk mengambil kakitangan sendiri, bermaksud dia boleh ambil yang terbaik. Bayangkan misalnya yang membuat penyelidikan di Parlimen itu adalah orang yang terbaik, bayangkan mutu debat yang akan berlaku dalam Parlimen nanti tentu akan meningkat.

**media[1970180]**

“Apabila kita ada penyelidikan yang berkualiti tinggi, kita ada orang yang boleh buat analisis yang bertahap tinggi, tentunya apabila Parlimen mahu membuat keputusan tentang sesuatu isu, undang-undang atau dasar, dia akan dapat melakukan keputusan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk ‘Reformasi Parlimen: Ubah Sebelum Parah’ yang dihoskan Asmaliza Mansor dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Sabtu.

Tambah beliau, suruhanjaya perkhidmatan Parlimen boleh berperanan menentukan gaji, kriteria, dan skema untuk menjamin kakitangan terus bekerja di parlimen.

“Bila ada suruhanjaya, kita boleh tentukan ganjaran atau imbuhan terbaik untuk orang terbaik. Jadi ini akan menarik mana-mana calon yang terbaik untuk kekal berkhidmat dalam parlimen.

Jelas beliau, penggubalan akta tersebut bagaimanapun memerlukan pindaan Perlembagaan agar berlaku pengasingan kuasa perkhidmatan Parlimen, sama dengan kuasa eksekutif dan kuasa kehakiman.

“Barulah ketiga-tiga cabang kuasa ini bebas dan boleh menghidupkan demokrasi yang sebenarnya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here