SHAH ALAM – Kegagalan pemimpin-pemimpin negara dalam menyuarakan keburukan gejala rasuah merupakan antara faktor yang mencetuskan amalan tersebut dalam kalangan masyarakat.
Setiausaha Agung Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra Malaysia), Ab Rahman Mohd Ali berkata, budaya rasuah semakin menjadi-jadi dan menimbulkan kebimbangan kepada negara.
“Jarang kita dengar pemimpin-pemimpin tertinggi kita menasihati rakyat akan kesan daripada rasuah ini.
“Wang yang sepatutnya boleh dibelanjakan bagi pembangunan ekonomi dan modal insan di negara ini tidak dapat digunakan secara 100 peratus.
“Ketirisan ini merugikan semua rakyat Malaysia dan menghampakan pembayar cukai yang berharap dengan pembayaran tersebut dapat membantu kerajaan membangunkan kemampanan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Selain itu, ulas Ab Rahman, kebanyakan tangkapan yang dibuat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pelaku rasuah majoritinya melibatkan orang Melayu yang beragama Islam.
“Apa yang berlaku sebenarnya, penerima rasuah ini terlupa akan rasuah itu haram di sisi agama dan ianya akan dipersoal di hadapan ALLAH SWT di akhirat nanti kerana antara perkara utama yang akan ditanya di akhirat nanti adalah punca rezeki kita.
“Kealpaan mereka dengan bersekongkol memakan rasuah ini adalah disebabkan ingin menjadi kaya dengan mudah dan hidup bergaya sehingga sanggup mengenepikan hukum-hakam,” ujarnya.