Home Rasuah Busters Kebertanggungjawaban formula kejayaan sebuah perjuangan: Nurhayati

Kebertanggungjawaban formula kejayaan sebuah perjuangan: Nurhayati

0
Kebertanggungjawaban formula kejayaan sebuah perjuangan: Nurhayati

SHAH ALAM – Bukan bertindak semberono, sebaliknya sebuah perjuangan memerlukan strategi mantap serta tanggungjawab ikhlas bagi menjayakan misi yang telah dirancang.

Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, proses memulihkan semula kestabilan sebuah negara Malaysia tanpa rasuah adalah amat kritikal ekoran budaya tersebut telah ‘bertapak’ sekian lama dalam masyarakat.

Katanya, semua pihak perlu tahu peranan dan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan perjuangan membasmi amalan rasuah dicapai.

Menurutnya, formula kejayaan untuk perjuangan menentang rasuah adalah tumpuan atau fokus kepada pensejajaran misi rakyat untuk bangkit menentang rasuah.

“Perkara ini memerlukan pendekatan holistik yang perlu dimobilisasikan daripada peringkat kepimpinan sehinggalah kepada rakyat.

“Semua pihak wajib melihat sesuatu isu dengan sebuah pandangan yang jauh luas dan terbuka,” katanya kepada Sinar Harian, Jumaat.

Nurhayati berkata, jihad menghapuskan rasuah adalah peperangan besar yang memerlukan cara fikir yang juga besar demi mencapai impak mendalam kepada seluruh masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Tegasnya, seperti mana juga menangani isu pandemik Covid-19, setiap prosedur operasi standard (SOP) harus dipatuhi seluruh masyarakat tanpa mengira darjat atau warna kulit.Katanya, selain mematuhi larangan dan ketetapan yang telah dipersetujui oleh pihak berkuasa, usaha mendapatkan penawar terbaik perlu dilaksanakan secara berterusan.

Katanya, semua pihak perlu berwaspada dan menjaga diri, di samping memperkasa komuniti dengan ketahanan diri.

“Begitu juga dengan isu rasuah, semua pihak harus sedar dengan tanggungjawab dan peranan masing-masing bagi membendung gejala rasuah daripada menular dan membarah dalam masyarakat.

“Ketegasan ini penting supaya wabak jijik yang membudaya dalam masyarakat dihalang dan dihapuskan sama sekali.

“Apa yang penting, disiplin dan fokus harus ada pada setiap diri masyarakat untuk membenci amalan rasuah,” katanya.Selain itu, katanya, sistem nilai dan perundangan adalah asas kepada tegaknya keadilan.

Tegasnya, perkara tersebut perlu diperkasa, malah dihormati dan dihidupkan agar ia menjadi teras atau benteng terbaik mencegah rasuah daripada terus bermaharajalela.

“Bagaimana ingin memastikan keadilan dicapai jika kita sendiri gagal mengiktiraf proses undang-undang dan dengan emosi mengambil keputusan dalam tangan sendiri.

“Memberi pandangan tidak salah, tetapi bertindak rasional dengan pandangan konstruktif adalah jauh lebih bermanfaat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here