Home Rasuah Busters Keazaman politik hapus rasuah

Keazaman politik hapus rasuah

Keazaman politik hapus rasuah

SHAH ALAM – Cadangan untuk mewujudkan Akta Pembiayaan Dana Politik memerlukan keazaman politik daripada ahli-ahli Parlimen supaya hasrat untuk menghapuskan penyelewengan dan rasuah tercapai.

Menurut Penasihat Khas Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tan Sri Abu Zahar Ujang, jika sesebuah kerajaan itu stabil maka undang-undang tersebut boleh dilaksanakan dengan mendapat majoriti yang mudah di Parlimen.

“Tak perlu dapatkan 2/3 majoriti, cukup dengan majoriti yang mudah.

“Bagaimanapun, perkara ini terpulang kepada budi bicara Perdana Menteri untuk membuat usul itu dibentang kepada Parlimen,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian dalam satu pertemuan antara MPM, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Rahman.

Turut hadir dalam pertemuan itu, Penasihat Khas MPM, Tun Mohammed Hanif Omar; Timbalan Pengerusi MPM, Profesor Datuk Dr Zainal Kling dan Setiausaha MPM, Profesor Datuk Dr Hasan Mad serta Ketua Sekretariat, Datuk Faridah A Jabbar.

Cadangan Akta Pembiayaan Politik merupakan sebahagian daripada cadangan yang dikemukakan MPM dalam memorandum yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari lalu.

Dalam pada itu, Abu Zahar yang merupakan bekas Yang Dipertua Dewan Negara berkata, dalam keadaan politik yang tidak menentu di negara ini, cadangan itu sukar dilakukan.

Namun tegas beliau, selagi akta itu tidak dilaksanakan, ia akan punca kepada penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Perkara ini saya telah sarankan daripada dahulu dan juga kepada pemimpin yang ada sekarang khususnya Perdana Menteri supaya satu rang undang-undang menentukan satu dana politik mesti diadakan,” katanya.

Rakyat digesa ubah sistem nilai diri

Sementara itu, Abu Zahar yang merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) turut menggesa agar rakyat di negara ini mengubah sistem nilai diri agar gejala rasuah dapat diperangi habis-habisan.

“Maknanya kita mesti mengubah corak pemikiran kita.

“Rakyat mesti mengubah corak pemikiran bahawa merekalah sebenarnya yang berkuasa. Yang berkuasa itu rakyat dan rakyat mesti berani bangun menyuarakan perkara yang tidak betul.

“Selagi benda (rasuah) ini kita terima dan tidak mengambil tindakan, ia akan berlarutan. Ini merupakan satu perkara yang sangat penting dan menjadi keutamaan kita pada ketika ini,” katanya.

Bagaimanapun, Abu Zahar turut menjelaskan, rakyat juga perlu memahami hakikat bahawa proses untuk membawa sesuatu kes ke mahkamah itu sesuatu perkara yang mudah.

“Setiap aduan perlu disiasat dengan teliti dan mesti mempunyai bukti yang kukuh. Setakat ini yang saya tahu pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kalau bukti hingga ke tahap 90 peratus atau kes itu sudah kukuh tidak bermakna ia sudah mencukupi untuk dibawa di mahkamah.

“Bagaimanapun perkara ini dari segi teknikalnya, memerlukan semua pihak yang terlibat dalam sesuatu pendakwaan mempunyai satu kerjasama yang kukuh supaya kes yang dibawa itu mencapai satu keputusan yang terbaik daripada mahkamah,” katanya.

Jelas, Abu Zahar untuk itu, ketiga-tiga pihak iaitu pendakwa, pembela dan hakim perlu sekata dalam menegakkan kebenaran dan keadilan.

“Andainya satu pihak dari tiga ini tadi tidak melakukannya, maka tidak akan nampak berlakunya keadilan dalam kes-kes rasuah yang dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut menggesa agar rakyat tidak perlu takut sekiranya mahu membuat aduan berhubung kes-kes rasuah.

“Rakyat juga mesti faham bahawa ada undang-undang yang dapat menjamin keselamatan dan melindungi pengadu menerusi Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

“Masalahnya ada yang tidak faham ini, tak mahu bertanya dan bila tak faham macam-macam sangkaan dan persepsi yang negatif dilemparkan.

“Jadi saya fikir perlu ada penerangan dan penjelasan kepada semua pihak sebagai pencegahan dan ia mesti dilakukan di peringkat awal lagi.

“Mungkin pihak Kementerian Pendidikan perlu mencari jalan supaya memberi satu penerangan ataupun pendidikan di peringkat sekolah lagi bahawa apabila mereka dewasa nanti, mereka tahu bahawa rasuah ini adalah perbuatan yang salah,” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here