Home Rasuah Busters ‘Kalau tak ada rasuah memang takkan jadi kebun durian’

‘Kalau tak ada rasuah memang takkan jadi kebun durian’

0
‘Kalau tak ada rasuah memang takkan jadi kebun durian’

SHAH ALAM – Pertubuhan bukan kerajaan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sehingga ke akar umbi isu pencerobohan hutan oleh pekebun durian di Raub kerana yakin aktiviti yang telah berlaku sejak 40 tahun lalu itu mempunyai kaitan dengan rasuah.

Aktivis alam sekitar, Khaidir Ahmad berkata, beliau percaya penerokaan tanah secara haram menjadi berleluasa sehingga penceroboh tidak takut dan ‘besar kepala’ apabila tiada penguatkuasaan tegas ke atas aktiviti itu sejak berpuluh tahun.

“Semasa mereka (pengusaha kebun haram) tebang pokok hutan simpan untuk menanam durian, pastinya ada pihak yang melindungi dan menerima suapan, lalu dibiarkan sampai sekarang.

“Punca utama dia memang rasuah, kalau tak ada rasuah memang takkan jadi,” katanya dengan tegas kepada kru Rasuah Busters Sinar Harian pada Selasa.

Khaidir turut memuji tindakan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) membongkar dan bertegas dengan pekebun haram terbabit.

“Kami sangat mengalu-alukan keberanian JPNP, khususnya kerajaan negeri Pahang kerana bertindak dan berharap tindakan tegas ini berterusan bukan hanya di Raub, malah di Bentong dan seluruh negeri Pahang,” katanya.

Timbalan Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia, Mohd Rafee Md Aris pula berkata, pihak berkuasa seperti SPRM atau polis tidak perlu menunggu laporan untuk melakukan siasatan sekiranya terdapat salah laku atau kegiatan rasuah dalam isu pencerobohan tanah di Raub.

“Isu pencerobohan ini sebenarnya telah lama berlaku. Bayangkan daripada masa durian ditanam, belum berbuah sehinggalah sudah berbuah tidak ada apa-apa tindakan.

“Sehinggalah aduan dibuat mengenainya baru-baru ini, barulah ada tindakan tegas. Bagaimanapun untuk menuduh terus kata ada perbuatan rasuah saya rasa perlu diselidik dengan terperinci dan dibuktikan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan tindakan tegas pihak penguatkuasaan yang menghalang pekebun untuk terus menceroboh tanah-tanah tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi berkata, beliau tidak dapat mengulas lanjut berkenaan isu tersebut buat masa ini.

Berdasarkan rekod, SPRM telah memulakan siasatan sama ada kes pencerobohan haram di Raub mempunyai kaitan dengan kegiatan rasuah sejak tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Provokasi ketika operasi, 18 pekebun haram durian musang king ditahan

18 pekebun durian musang king direman dua hari

Musang king: Operasi tebang pokok tidak langgar perintah mahkamah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here