Home Rasuah Busters Jiwai kemerdekaan, putuskan rantaian rasuah

Jiwai kemerdekaan, putuskan rantaian rasuah

0
Jiwai kemerdekaan, putuskan rantaian rasuah

PADA 23 Ogos lalu, ketika bertitah merasmikan sidang mesyuarat pertama penggal keempat Dewan Undangan Negeri (DUN), Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita apabila masih ramai dalam kalangan ahli politik dan penjawat awam di Selangor yang terlibat dengan amalan rasuah biarpun sudah berkali-kali diberi peringatan.

Malah, baginda menitahkan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus menjalankan siasatan menyeluruh bagi membersihkan Selangor dari amalan rasuah.

Sebulan sebelum titah di DUN, baginda memperlihatkan keprihatinan akan keperluan semua pihak sama-sama memainkan peranan memerangi rasuah dan meningkatkan integriti di negara ini.

Pertamanya, baginda menzahirkan rasa dukacita kerana terdapat beberapa pegawai kerajaan di Selangor terlibat dengan kegiatan rasuah yang boleh meruntuhkan imej pentadbiran dan nama baik seluruh pegawai kerajaan.

Baginda menegaskan bahawa pegawai kerajaan negeri yang didapati bersalah terbabit dalam aktiviti rasuah atau pecah amanah perlu dikenakan tindakan tatatertib serta hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Sultan Selangor turut menzahirkan penghargaan baginda kepada SPRM yang sudah melaksanakan tanggungjawab menyiasat dan memastikan aktiviti rasuah di Selangor dapat dibanteras.

Sultan Selangor juga mengingatkan bahawa rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah satu gejala yang boleh merosakkan masyarakat serta menjatuhkan negara.

Beberapa hari kemudian Sultan Sharafuddin berharap SPRM tidak akan melayan sebarang penangguhan perbicaraan membabitkan kes rasuah terutamanya di Selangor.

Baginda sekali lagi dilaporkan menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan terbaharu ini berhubung kes rasuah terutamanya di Selangor. Oleh itu, baginda berharap SPRM akan melakukan siasatan dengan telus dan teliti supaya pelaku yang dihadapkan ke mahkamah tidak terlepas dengan mudah.

Malah, baginda turut menyasarkan agar gejala rasuah dapat dibanteras sepenuhnya supaya tidak menjadi masalah lebih besar dan serius yang boleh memudaratkan generasi masa hadapan serta merosakkan masyarakat.

Ini bukan kali pertama baginda melahirkan ketegasan seperti ini.

Pendirian tegas yang dizahirkan baginda ini merupakan satu bentuk teguran dan nasihat yang perlu diberi perhatian oleh setiap individu.

Penegasan baginda perlu diterima dan dihayati dengan sempurna bagi memastikan Selangor dan Malaysia secara keseluruhan dilihat sebagai negeri dan negara yang benar-benar bebas daripada rasuah.

Selangor merupakan antara negeri yang paling maju dan negeri yang mendapat pelaburan asing di Malaysia.

Oleh itu rakyat negeri ini mempunyai peranan yang amat besar dalam memastikan kedua-dua Selangor dan Malaysia benar-benar bebas daripada rasuah.

Setiap rakyat, tidak kira jawatan dan kedudukan, sama ada pekerja sektor swasta atau kerajaan, mempunyai tanggungjawab dan peranan bagi memastikan kita bebas daripada amalan tidak sihat ini.

Ini kerana jika dibiarkan berlarutan akan merugikan rakyat dan menggugat kestabilan negara. Sebagaimana dititahkan oleh baginda generasi akan datang berhadapan dengan mudarat yang serius.

Usaha perlu dipergiatkan dalam semua sudut bagi memastikan setiap penjuru operasi dan urusan bebas daripada tindakan atau perbuatan yang boleh membawa kepada gejala rasuah.

Rasuah tidak mengenal sektor. Ia membabitkan orang perseorangan dan organisasi, sama ada komersial ataupun bukan.

Tanggapan sebelum ini ‘korporat memberi, sektor awam menerima’. Kita perlu menghapuskan persepsi sedemikian.

Kita bukan sahaja disajikan laporan media bahawa kelompok individu didakwa di mahkamah, malah kecurangan organisasi korporat terbabit salah laku rasuah dan penyelewengan juga sering dilaporkan.

Tegas

Oleh itu sudah tiba masa perlu ada kerangka perundangan yang lebih menyeluruh dalam perkara ini.

Menyediakan peruntukan dengan tegas menekankan pengurusan organisasi atau entiti korporat, tidak kira entiti awam ataupun swasta sepenuhnya, mempunyai tanggungjawab memastikan persekitaran bebas rasuah lebih menyeluruh dapat dicapai.

Tahun lalu, Seksyen 17A Akta SPRM yang memperkenalkan peruntukan liabiliti korporat.

Seksyen 17A merupakan satu peruntukan yang menetapkan prinsip liabiliti korporat yang organisasi komersial akan dianggap melakukan suatu kesalahan jika mana-mana pekerja dan/atau pihak bersekutunya melakukan rasuah untuk faedah organisasi.

Setahun sebelum itu, negara menggubal Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 bagi meningkatkan usaha memerangi rasuah secara menyeluruh.

Diharap kerajaan negeri dan persekutuan akan meneruskan usaha meningkatkan tadbir urus dan integriti melalui pelaksanaan NACP 2019-2023 bagi memastikan hasrat meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan secara telus dan berkesan.

Diyakini pelbagai usaha diambil akan membawa hasil cukup baik. Tidak dapat dinafikan inisiatif ini memerlukan masa untuk dilihat kesan dan impak.

Apa yang penting, kita perlu ada komitmen dan iltizam untuk mencapai sasaran persekitaran bebas rasuah di semua peringkat dan sektor.

Keterlibatan penjawat awam, khususnya agensi penguat kuasa kerajaan dalam gejala rasuah adalah sesuatu yang membimbangkan dan merisaukan.

Kajian menunjukkan amalan rasuah berlaku berpunca daripada banyak faktor. Ini termasuklah kegagalan individu mengawal hawa nafsu, sifat tamak, definisi integriti dan ada yang dikatakan mahu memburu kekayaan dengan cepat.

Ini bukan pertama kali agensi-agensi awam berhadapan dengan keadaan pegawai mereka terlibat dalam isu integriti.

Keadaan ini secara langsung menimbulkan persoalan mengenai keutuhan sistem dan mekanisme yang diambil bagi memerangi rasuah dan salah guna kuasa serta apa jua kes membabitkan budaya berintegriti di agensi awam.

Perangi rasuah

Pokoknya sikap selesa dan ketidaktegasan kepimpinan terus menguji kepaduan pelaksanaan sistem, prosedur dan peraturan bagi memerangi rasuah dan integriti di tempat kerja.

Pendekatan pencegahan, pendidikan dan pendakwaan perlu disemak semula sesuai dengan NACP.

Tindakan secara kolektif dan kumulatif perlu diberi penekanan secara konsisten untuk mencapai sasaran sifar rasuah dan mengukuhkan budaya berintegriti.

NACP dan Pelan Integriti Nasional (PIN) yang digubal 16 tahun yang lalu perlu diaktifkan dan diperkasakan secara menyeluruh membabitkan setiap peringkat.

Selepas banyak inisiatif diambil dan pelbagai sumber telah dilaburkan, sudah tiba masa kita menyemak semula segala proses, sistem dan mekanisme dengan setiap pemimpin jabatan perlu memainkan peranan yang tegas bagi melahirkan Malaysia yang benar-benar bebas rasuah.

Jangan biarkan rasuah kekal berleluasa seperti masalah dadah.

Setiap anggota masyarakat dan pemegang taruh juga perlu memainkan peranan proaktif bagi memastikan isu rasuah dapat ditangani secara bersepadu.

Ini bukan hanya tugas kerajaan dan agensi awam semata-mata. Sebaliknya ia penglibatan dan pembabitan dua hala. Penghayatan prinsip Rukun Negara wajar dititikberatkan.

Masalah yang wujud di hadapan kita sudah jelas dan semakin jelas.

Sekarang merupakan masa untuk meletakkan noktah bagi memutuskan rantai rasuah secara menyeluruh di setiap peringkat.

Saya ucapkan tahniah atas usaha menggerakkan kempen Rasuah Busters. Semoga usaha ini sama-sama membantu kita ke arah menjadikan Malaysia bebas rasuah.

* Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim merupakan Pengarah Eksekutif Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dan Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik, World Trade Centre Associations

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here