Home Rasuah Busters Jawatankuasa penyelia PDRM perlu diperkasa, perluas

Jawatankuasa penyelia PDRM perlu diperkasa, perluas

0
Jawatankuasa penyelia PDRM perlu diperkasa, perluas
Laporan Sinar Harian mengenai seorang pegawai polis percubaan ditahan reman tiga hari bermula kerana disyaki meminta dan menerima rasuah. Gambar kecil: Badlishah

SHAH ALAM – Peranan jawatankuasa penyelia dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu diperkasa dan diperluaskan bagi memastikan pemantauan dari segi integriti anggota pegawai dapat dilakukan dengan lebih menyeluruh.

Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia, Badlishah Sham Baharin berkata, fungsi jawatankuasa tersebut memainkan peranan penting sebagai badan pengawas dalam mengawasi tindakan anggota penguat kuasa, sekali gus mengelakkan daripada terlibat dalam aktiviti rasuah.

“Sejak dahulu lagi, organisasi masyarakat sivil (CSO) telah memberi cadangan mengenai jawatankuasa penyelia itu dan ia telah pun dilaksanakan.

“Jawatankuasa berkenaan perlu diperkasa supaya isu rasuah tidak berulang. Maknanya, akan ada pengawasan, jika berlaku kes rasuah, tindakan tegas akan diambil dan diuar-uarkan dalam media sosial.

“Dengan itu, orang akan lebih takut untuk melakukan rasuah, risau mencalarkan nama baik dan maruah keluarga,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Seorang pegawai polis percubaan ditahan reman tiga hari kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bernilai RM2,000 bulan lepas.

Perintah reman hingga Sabtu itu dikeluarkan oleh Majistret Noor Fazlina Musa selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah di Mahkamah Majistret Sungai Petani.

Ujar Badlishah, tindakan pegawai penguat kuasa yang terlibat dalam kegiatan rasuah juga menghantar isyarat negatif kepada persepsi masyarakat bahawa kesalahan undang-undang boleh dibayar dengan nilai tertentu.

“Ini membahayakan lagi pendidikan moral, terutama bagi golongan muda yang mungkin membesar dengan tanggapan bahawa jenayah boleh dielakkan melalui rasuah.

“Jika dibiarkan, amalan itu akan berterusan dan merosakkan fabrik sosial.

“Pegawai penguat kuasa yang terlibat dalam rasuah perlu dikenakan tindakan undang-undang tegas tanpa kompromi,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here