Home Rasuah Busters Jangan tunggu lama laksanakan Akta Pendanaan Politik

Jangan tunggu lama laksanakan Akta Pendanaan Politik

0
Jangan tunggu lama laksanakan Akta Pendanaan Politik
Tricia ketika program Nota Rasuah Busters kepada PMX yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian dan Astro Awani pada Rabu. – Foto SINAR HARIAN / RAFEQ REDZUAN

SHAH ALAM – Kerajaan tidak perlu menunggu lama untuk melaksanakan Akta Pendanaan Politik kerana ia merupakan titik permulaan bagi menambah baik landskap politik negara sekali gus demi kelangsungan sistem demokrasi Malaysia yang lebih telus dan bersih.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Dr Tricia Yeoh berkata, kewujudan akta berkenaan membolehkan pemantauan dapat dilakukan bagi mengetahui sumber kewangan atau dana diperoleh sesebuah parti politik.

Tricia berkata, di Malaysia unsur rasuah sebenarnya bermula daripada pendanaan politik dan ia boleh dihentikan sekiranya terdapat undang-undang khusus bagi perkara tersebut.

“Antara prinsip penting dalam penggubalan undang-undang baharu itu adalah pertama, perlu ada ketelusan dan yang kedua pendanaan awam kepada parti politik. Tindakan tersebut akan mengurangkan kebergantungan parti kepada sektor lain.

“Selain itu, kerajaan perlu menubuhkan suruhanjaya bebas bagi mengawal selia pendanaan politik serta memperkenalkan jumlah khas atau maksimum yang boleh diterima daripada individu atau syarikat tertentu,” katanya ketika berucap pada program Nota Rasuah Busters kepada PMX yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian dan Astro Awani pada Rabu.

Antara ahli panel lain yang hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia #RasuahBusters, Nurhayati Nordin; bekas menteri kabinet, Tan Sri Syed Hamid Albar; Exco Transparency International Malaysia (TI-M), Alan Kirupakaran; bekas Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong; Pengasas dan Pengarah Eksekutif C4 Center, Cynthia Gabriel dan Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Tambah beliau, diharapkan kerajaan tidak menunggu 13 tahun lagi untuk melaksanakan undang-undang tersebut.

“Kita tengok sekarang, pendedahan demi pendedahan tentang penggunaan wang dalam politik dan ia sepatutnya dipandang serius oleh semua pihak.

“Duit negara seharusnya digunapakai sebaik mungkin. Lagipun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selalu tekankan dalam setiap ucapan beliau di mana-mana tempat agar tidak berlaku ketirisan dalam pentadbiran negara,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here