SHAH ALAM – “Jangan tuduh aktiviti pembalakan sebagai asas kemusnahan hidupan liar,” kata bekas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Hutan Malaysia, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor.
Ujar beliau, kelemahan pihak penguat kuasa seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) dalam mengawal jalan masuk antara punca yang menyebabkan pemburu dapat memasuki hutan dan membunuh hidupan liar.
Beliau berkata, Perhilitan sepatutnya meningkatkan penguatkuasaan kawalan di kawasan-kawasan strategik bagi menghalang kemasukan pemburu-pemburu haram dalam hutan.
“Yang penting ialah jalan masuk. Jika ada pembalakan walaupun haram atau tidak haram, tetapi sekiranya jalan masuk tidak dikawal, maka pemburu-pemburu haram dapat masuk dan guna jalan itu untuk menembak serta membunuh hidupan liar.
“Bukan salah hutan simpan, hutan kerajaan negeri dan bukan salah hutan secara amnya. Ini harus kita faham,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ketika menjadi panel pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Rasuah, Tsunami Balak dan Bah’ yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Rabu.
Turut hadir serta menjadi panelis pada program itu ialah Exco Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Damian Thanam Divean dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, manakala Ismail Adnan bertindak selaku moderator.
Mengulas lanjut, Salleh yang juga Penasihat Kanan Persatuan Pencinta Alam Malaysia tidak menafikan aktiviti pembalakan menyebabkan habitat musnah, secara tidak langsung menjadi punca mendorong kepada kepupusan hidupan liar.
“Binatang liar, mereka bukan bodoh. Apabila berlaku sesuatu, mereka akan lari. Penebangan balak di hutan secara terkawal dan mengikut sistem perhutanan, akan pulih semula dalam tempoh lima tahun jika dibiarkan.
“Soalnya, pemburu-pemburu haram ini, mereka masuk mengikut jalan-jalan (tertentu) dan sewenang-wenangnya pergi menembak (hidupan liar).
“Oleh itu perlu dikawal jalan masuknya dan Perhilitan terus mengawal tempat-tempat strategik supaya jangan membenarkan pemburu-pemburu haram ini masuk,” ujar beliau.