Home Rasuah Busters Jangan sorok atau sokong perbuatan rasuah

Jangan sorok atau sokong perbuatan rasuah

0
Jangan sorok atau sokong perbuatan rasuah

SHAH ALAM – Perbuatan rasuah tidak seharusnya disorok atau disokong oleh semua lapisan masyarakat meskipun ia melibatkan orang sekeliling yang dikenali.

Perbuatan tersebut seharusnya dilaporkan kepada pihak berkuasa agar gejala itu tidak berterusan berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia.

Penjawat awam, Muhammad Faiz Othman, 25, berkata, perbuatan rasuah seharusnya dihindari bukan sahaja oleh golongan yang berpangkat, malah setiap individu di semua peringkat.

“Amalan rasuah di negara ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan golongan berpangkat, rakyat biasa juga terlibat dalam aktiviti ini. Perkara ini tidak seharusnya disokong.

“Jangan kita diamkan diri atau menyorokkan kes yang melibatkan gejala keji ini. Kita juga akan dikira terlibat sama. Sesungguhnya ia memberi kesan yang buruk dalam kehidupan.

“Kita tidak mahu gejala ini terus merebak. Ia akan menjadikan negara kita penuh dengan korupsi dan mendatangkan kesan yang buruk,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Pekerja swasta, Nur Nabila Mohd Salleh, 28, meminta agar semua pihak memberikan kerjasama dalam melaporkan setiap perbuatan rasuah kepada pihak berkuasa agar tindakan segera dapat dilakukan.

Menurutnya, sekiranya perbuatan rasuah tidak dilaporkan, penerima atau pemberi rasuah perlu ditegur agar tidak melakukan perbuatan tersebut dan tidak mengulanginya.

“Setiap agama melarang kita untuk melakukan rasuah. Saya yakin, orang ramai juga mengetahui maksud larangan ini. Seharusnya ia perlu dihindari oleh semua pihak.

“Jangan sesekali kita anggap rasuah sebagai satu budaya yang dibolehkan dan diamalkan. Apabila sekali kita mencuba, kemungkinan untuk kita lakukan lagi adalah tinggi,” katanya

Bagi peniaga makanan, Muhammad Zuhair Azman, 24, didikan awal ibu bapa diperlukan agar gejala rasuah tidak diamalkan dalam sesebuah keluarga.

“Ibu bapa dilarang untuk melakukan rasuah. Ini menyebabkan anak-anak berfikir ia merupakan satu kegiatan yang boleh dilakukan. Ibu bapa merupakan cerminan anak-anak pada masa hadapan,” ujarnya.

Menurutnya, amalan rasuah dalam kalangan rakyat hanya dapat dicegah melalui diri sendiri kerana perbuatan tersebut berlaku disebabkan oleh nafsu dan kehendak diri sendiri tanpa paksaan orang lain.

“Diri sendiri sebenarnya kena tanam sikap tidak mahu melakukan rasuah. Kempen banyak mana pun, jika diri sendiri berdegil mahu melakukan perkara itu, ia tetap akan berlaku,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here