SHAH ALAM – Badan kehakiman negara sewajarnya tidak diserang malah diprovokasi orang ramai meskipun tidak bersetuju dengan keputusan yang ditetapkan kerana institusi kehakiman adalah bebas serta menjunjung konsep keadilan saksama.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia-#RasuahBusters, Nurhayati Nordin berkata, kuasa kehakiman negara adalah bebas dan berpaksikan kepada kepentingan rakyat.
Untuk itu tegas beliau, keyakinan tersebut harus dikekalkan dengan menonjolkan keadilan yang berteraskan fakta, selain menjunjung undang-undang yang termaktub tanpa sebarang kawalan atau pengaruh tidak wajar daripada mana-mana pihak.
Menurutnya, keadilan yang ditegakkan adalah kepentingan buat seluruh masyarakat sekali gus memastikan kesejahteraan buat negara dalam mencapai kemajuan diinginkan.
“Amanah dipertanggungjawabkan adalah memastikan layanan sama rata walau sesiapapun yang tampil atau dihadapkan ke muka pengadilan.
“Menurut Socrates: “Empat perkara adalah hak seorang hakim iaitu mendengar penuh susila, menjawab dengan bijak, mempertimbangkan dengan kewajaran dan memutuskan dengan tidak berat sebelah.
“Oleh itu, integriti badan kehakiman yang bebas tidak akan sama sekali meletakkan sesiapa pun mengatasi undang-undang,” katanya kepada kru Rasuah Busters pada Selasa.
Mengulas lanjut, Nurhayati berkata, sebarang sentimen atau tekanan yang disasarkan kepada badan kehakiman tidak memberi kesan kepada perlaksanaan keadilan meskipun dalam apa pun keadaan.
Sebagai rakyat Malaysia yang cakna, beliau berkata, kelantangan tidak berasas dan tidak profesional terhadap badan kehakiman tidak akan mendatangkan sebarang manfaat, sebaliknya hanya akan meremehkan ciri demokrasi di negara ini.
Jelasnya, para hakim adalah perisai yang memelihara perlembagaan negara, malah bertanggungjawab melindungi nilai yang didukung oleh perundangan.
Untuk itu tegas beliau, institusi kehakiman negara harus kekal bebas tanpa sebarang campur tangan daripada mana-mana pihak.
Justeru katanya, cubaan pencerobohan yang menghalang demokrasi dan menggugat kebebasan kehakiman oleh mana-mana kelompok berkepentingan harus disekat dan ditangani dengan kewaspadaan tinggi.
Nurhayati berkata, kebebasan kehakiman bererti berlaku adil sekalipun keputusan tidak popular dan mahkamah perlu kekal mempertahankan kebenaran, sekalipun perlu mengenepikan pandangan majoriti rakyat.
“Perkara ini sangat penting kerana ia merupakan tunjang kepada usaha memerangi dan menghentikan wabak rasuah.
“Badan kehakiman yang berintegriti adalah harapan rakyat dan satu-satunya benteng yang mesti kita pertahankan.
“Ia harus terus teguh, menahan apa juga tohmah dan ugutan agar keadilan tetap terlaksana tanpa gentar dan pilih kasih,” ujar beliau.