Home Rasuah Busters Jangan kompromi rasuah di IPT

Jangan kompromi rasuah di IPT

0
Jangan kompromi rasuah di IPT

SHAH ALAM – Tiada kompromi terhadap kegiatan rasuah yang berlaku terutama di institusi pengajian tinggi (IPT).

Timbalan Pengerusi Majlis Pegawai Integriti Universiti Awam, Rajan Munusamy berkata, IPT merupakan tempat untuk melahirkan modal insan dan juga bakal pemimpin negara.

Jelasnya, jika kegiatan rasuah tetap dilakukan, ia akan memberi kesan dalam melahirkan generasi baharu terutama dari aspek integriti.

“Di universiti orang ramai melihat ia adalah tempat melahirkan modal insan, lahirkan pemimpin negara. Walaupun ada satu kes dilaporkan, ia akan nampak buruk kepada pihak luar.

“Kita perlu banteras. Saya memang sokong usaha membanteras rasuah habis-habisan ini terutama di IPT. Bagi saya kalau berlaku, ia mengotorkan imej sebab sepatutnya IPT melahirkan pemimpin yang berintegriti.

“Kita tak boleh toleransi kalau rasuah berlaku di IPT. Jangan benarkan ia berlaku kerana akan merosakkan generasi akan datang,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Rajan berkata, kebanyakan rasuah yang berlaku di IPT adalah berkaitan dengan kes tuntutan palsu.

Jelasnya, ia berlaku adalah bagi mendatangkan keuntungan kepada pelaku dan juga ahli keluarganya.

“Di IPT, selalu kita akan dengar kes tuntutan palsu. Tuntutan palsu ini juga kesalahan berkaitan rasuah.

“Contohnya, dia (pelaku) merupakan ketua jabatan, kemudian dia meluluskan geran kepada keluarga dia sahaja. Ini maksudnya dia hanya buat keputusan yang menguntungkan diri dia dan keluarga,” ujarnya.

Selain itu, beliau yang juga Pegawai Integriti Bertauliah (CeiO) berkata, pemimpin mempunyai nilai integriti adalah mereka yang faham dengan maksud banteras rasuah dan akan adil dalam membuat keputusan.

Sebaliknya, jika pemimpin tersebut tidak mempunyai integriti, dia akan sentiasa cari ruang dan peluang untuk membolehkan sesuatu keputusan dibuat walaupun salah.

Pada 16 Januari lalu, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub telah melancarkan kempen atau gerakan yang dinamakan sebagai Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa bagi membanteras gejala rasuah dan membina semula negara.

Ia merupakan satu gerakan reformasi moral daripada rakyat untuk rakyat dan negara tanpa sebarang agenda politik.

Jelas Rajan, gerakan yang dilakukan tersebut merupakan usaha yang terbaik dan perlu sentiasa diteruskan bagi memastikan orang ramai sentiasa menghindari gejala itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here