SHAH ALAM – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentuk barisan kabinetnya dengan pemimpin berprestasi tinggi, berkredibiliti dan mereka yang bersih daripada skandal rasuah.
Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann berkata, kriteria-kriteria berkenaan perlu menjadi keutamaan kepada Anwar bagi memastikan Malaysia mampu dipacu ke arah yang lebih baik, berdaya saing dan mampu menampan badai ekonomi dunia.
Jelasnya, meskipun parti-parti yang bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) boleh mencadangkan kepada Perdana Menteri senarai ahli-ahli Parlimen mereka mengikut hierarki, tetapi Anwar yang akhirnya akan membuat keputusan berdasarkan kuasa yang beliau miliki.
“Tetapi akhirnya Perdana Menteri yang akan pilih dan antara kriteria yang perlu dipertimbangkan ialah sama ada orang itu ada kes-kes mahkamah yang belum selesai dan prestasi dan kelayakan dia.
“Anwar tidak harus cemarkan kabinetnya dengan orang yang kurang kredibiliti,” katanya kepada Rasuah Busters pada Ahad.
Justeru, beliau mengharapkan supaya Anwar tegas dalam mencatur struktur barisan kabinetnya supaya dibarisi oleh mereka yang berkelayakan.
“Jadi pilihan yang ada adalah pilih pemimpin yang tidak ada skandal rasuah dan ada kelayakan,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengenai saranannya supaya keutamaan pemilihan ahli kabinet Anwar mengikut hierarki atau struktur jawatan dalam parti yang menyokong gabungan kerajaan perpaduan.
Sebagai antara rakan koalasi terbesar PH, Ahmad Maslan berharap pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan dirunding sebelum senarai kabinet diumumkan nanti.
Katanya, sebelum ini, Ahmad Zahid tidak dirunding pada pembentukan dua kabinet yang lalu.
Anwar pada Jumaat berkata, beliau meminta tempoh beberapa hari lagi sebelum barisan kabinetnya diumumkan.
Ini kerana beliau tidak mahu melantik menteri dengan tujuan untuk memberi ‘ganjaran’ secara berlebihan.
Anwar berkata, perbincangan untuk melantik menteri turut sedang dilaksanakan bersama parti gabungan PH.
Tambahnya, beliau juga sudah bertemu dengan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg serta wakil BN.
Malah beliau juga akan bertemu dengan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor serta Warisan.
Bagaimanapun, Anwar mengulangi pendiriannya untuk memperkecilkan ahli kabinet dan tidak mahu melantik lebih 70 menteri semata-mata sebagai imbuhan menyokong kerajaannya.
“Saya tidak mahu meneruskan pemberian tambahan ini untuk menggajikan atau melantik menteri atau penasihat sebagai ganjaran menyokong saya. Saya mahu mereka menyokong saya berdasarkan polisi yang dibawa serta komitmen untuk tadbir urus yang baik, anti rasuah serta ekonomi,” katanya.