Home Rasuah Busters Jangan biar tangan rakus, tamak rosakkan bumi

Jangan biar tangan rakus, tamak rosakkan bumi

0
Jangan biar tangan rakus, tamak rosakkan bumi
Sharifah ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU-15 bertajuk ‘Kiamat Iklim 2040, Malaysia ‘Termasuk’?’ pada Selasa.
‘Tidak dinafikan setiap pembangunan memerlukan tanah untuk diterokai, namun semua itu perlu dilakukan secara perancangan terperinci’

SHAH ALAM – Kerosakan bumi dan alam berlaku daripada tangan-tangan yang rakus melakukan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa demi kepentingan peribadi.

Ikon Ratu Kutub Negara, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir berkata, kumpulan pemimpin dan mereka yang terlibat dengan jenayah-jenayah tersebut seharusnya memikirkan kembali tentang dosa dan pahala, selain tujuan diangkat sebagai seorang pemimpin oleh masyarakat.

Beliau yang juga seorang pakar psikologi berkata, sebagai seorang pemimpin dan pentadbir, semua tindakan yang mahu dilakukan seharusnya difikirkan kesan baik buruk kepada rakyat serta generasi mendatang.

Tegasnya, nasib masa depan anak-anak kecil berada di tangan pemimpin terutama memastikan negara dapat diserahkan dengan baik.

“Sekiranya negara ini berada dalam tangan pemimpin yang rakus dan tamak mengejar kekayaan buat diri sendiri, pastinya ia akan merosakkan masa hadapan anak-anak kecil ini nanti.

“Namun pemimpin yang korup ini perlu juga sedar bahawa tindakan dan perbuatan buruk mereka itu mungkin juga akan terkena serta memberi kesan kepada anak cucu mereka sendiri.

“Ingatlah bahawa kita akan dilaknat dan berdosa besar apabila tidak menjalankan tanggungjawab sebenar sebagai pemimpin yang adil dan jujur,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU-15 bertajuk ‘Kiamat Iklim 2040, Malaysia ‘Termasuk’?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa. Rancangan itu dihoskan oleh Sam Ghani.

Mengulas lanjut, Sharifah berkata, tidak dinafikan setiap pembangunan memerlukan tanah untuk diterokai, namun semua itu perlu dilakukan secara perancangan terperinci.

**media[1985191]**

Tegasnya, jangan benarkan bumi dimusnahkan terlalu cepat oleh tangan-tangan rakus mengejar kekayaan, biarpun hakikatnya bumi sudah begitu uzur.

Jelasnya, bumi tidak mempunyai suara untuk meluahkan rasa, tetapi bumi mampu menunjukkan betapa ia sakit dan uzur menerusi bencana alam yang berlaku seperti runtuhan, banjir dan cuaca yang semakin panas.

“Kalau tangan-tangan rakus ini terlalu memikirkan keuntungan, siapa yang hendak membela nasib bumi ini? Kita sebenarnya sedang menuju ke arah hari kiamat yang semakin dekat, tetapi jangan cepatkan proses ini.

“Sebenarnya, ke mana kita hendak tuju sebenarnya? Berapa banyak yang boleh kita makan? Malah berapa lama kita boleh hidup?

“Oleh sebab itu, saya sangat berharap, mana-mana calon yang berjaya menjadi pemimpin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini, berfikirlah tentang masa depan anak bangsa. Fikir apa yang kita hendak turunkan kepada anak bangsa dan hendak buat sesuatu kena fikir?,” katanya.

Demi kelestarian negara, Sharifah berkata, semua pihak bertanggungjawab termasuk kementerian terlibat harus berfikir tentang isu penting tersebut dan masa depan negara yang lebih terjamin.

Katanya, jangan ada golongan pemimpin yang dipilih nanti adalah mereka yang hanya pandai mengucapkan ‘Yes Boss’ dan meluluskan apa sahaja yang boleh menguntungkan individu-individu korup.

Tegasnya, bumi anugerah Tuhan adalah amanah yang perlu dijaga dan bukanya dimusnahkan secara suka hati mengikut hawa nafsu.

Menurutnya, manusia boleh merancang dan membuat sesuatu di atas muka bumi, tetapi mereka perlu meulihkannya semula setelah diteroka atau dibangunkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here