Home Rasuah Busters Jamin kebebasan SPRM daripada pengaruh eksekutif, politik

Jamin kebebasan SPRM daripada pengaruh eksekutif, politik

0
Jamin kebebasan SPRM daripada pengaruh eksekutif, politik

SHAH ALAM – Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) berpandangan intipati kepada cadangan solusi transformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah bertujuan menjamin kebebasan badan agensi itu daripada pengaruh eksekutif dan politik selain meningkatkan kewibawaan.

Pengerusinya, Dr Badlishah Sham Baharin berkata, pihaknya bersama beberapa badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini telah mencadangkan supaya mewujudkan satu badan yang dinamakan Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah (IACC).

Beliau berkata, penubuhan badan tersebut bakal menjadi sebuah institusi yang bertindak menyemak dan mengimbangi kuasa SPRM, malah bertindak membuat laporan secara terus kepada Parlimen.

“Jadi, ini antara solusi yang kita nampak yang mana ia boleh mengangkat SPRM menjadi satu institusi yang lebih tinggi dan berwibawa.

“Pada masa sama, bebas menjalani siasatan tanpa pengaruh eksekutif dan politik dengan meletakkan agensi ini di bawah Parlimen, bukan di bawah Pejabat Perdana Menteri. Inilah intipati kepada solusi SPRM untuk jangka masa panjang.

“Yang menjadi cabaran bagi cadangan ini adalah kita perlu meminda Perlembagaan,” katanya pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Solusi Transformasi SPRM’ yang bersiaran secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Program yang dimoderatorkan oleh Ismail Adnan itu turut menampilkan Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Dalam pada itu, Badlishah berkata, pihaknya turut mencadangkan supaya badan pengawal bagi pertubuhan badan tersebut dianggotai 40 peratus daripada masyarakat sivil, manakala selebihnya terdiri daripada sektor awam supaya adanya keseimbangan.

“Jadi, badan pengawal yang kita cadangkan adalah 40 peratus daripada mayarakt sivil, 60 peratus daripada sektor awam.

“Ini penting bagi mewujudkan keseimbangan. Insya-ALLAH dengan berbuat demikian, ia akan membawa kepada perubahan kepada SPRM,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here