KUALA LUMPUR – Unit Integriti dan Ombudsman, Jabatan Premier Sarawak akan menjalin kerjasama dengan Rasuah Busters sebagai inisiatif membudayakan integriti, meningkatkan akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus pegawainya.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, usaha pasukan berkenaan selaras dengan fungsi unit itu sekali gus sedia berkongsi inisiatif yang dilaksanakan bagi membanteras perlakuan rasuah.
“Saya dapati Rasuah Busters telah melakukan usaha yang besar bagi membantu kerajaan dan rakyat mewujudkan kesedaran buruk terhadap rasuah dan menepati keperluan semasa negara pada saat Malaysia sedang menuju negara maju.
”Saya lihat peranan pasukan itu mesti disokong dan di Sarawak perlukan sokongan, bantuan dan dukungan atau join ‘synergy’ (sinergi) terutama dengan NGO (badan bukan kerajaan) yang aktif seperti Rasuah Busters.
“Kami sentiasa mengalu-alukan sokongan ini kerana pasukan ini diketuai oleh Datuk Hussamuddin (Hussamuddin Yaacub)yang merupakan antara gergasi media dalam negara, yang pasti ada pengaruh besar kepada massa,” katanya kepada Sinar Harian ketika sesi wawancara khas baru-baru ini.
Mengulas lanjut Juanda berkata, unit itu akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Rasuah Busters dan berharap keterlibatan pasukan itu tidak terhad di Semenanjung Malaysia sahaja.
Katanya, selain memerangi gejala rasuah dalam negara, kerjasama yang akan dilaksanakan kelak diharap mampu untuk meyakinkan rakyat mempercayai sistem negara selain pelabur luar masuk berdagang di Malaysia.
“Kerajaan Sarawak ingin melihat usaha Rasuah Busters tidak hanya terhad di Semenanjung Malaysia tetapi turut berlaku di Sarawak dan Insya-ALLAH kita akan merangka bentuk kerjasama yang boleh dilakukan.
“Saya yakin dan percaya tentang kejujuran rakan-rakan dalam Rasuah Busters yang ingin melihat negara kita bersih daripada amalan yang buruk seperti ini. Apabila sebut bersih, itu kira matlamat yang cukup ideal, tidak mustahil dicapai, alangkah baiknya usaha ini diterus dan kekalkan,” ujarnya.
Sementara itu mengulas mengenai isu rasuah, Juanda berkata, terdapat golongan perasuah yang menggunakan pendekatan seperti ‘Robin Hood’ untuk menutup kesalahan yang dilakukan.
Katanya, namun perbuatan jenayah bagi tujuan kebaikan tetap salah di sisi undang-undang negara, malah tidak dihalalkan oleh agama.
“Manusia kreatif, mereka akan cari apa sahaja cara untuk menghalalkan perlakuan haram. Kita tahu ada istilah Robin Hood dan sebagainya, sudah pasti semua agama dan peraturan tidak mengiktiraf perbuatan Robin Hood yang sebenarnya melakukan kejahatan walaupun atas niat kebaikan, apatah lagi kalau kejahatan itu dilakukan dengan niat yang terlalu jahat.
“Justeru saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia, mulakan integriti dari diri sendiri, keluarga, sebarkan kepada masyarakat bahawa kita adalah bangsa yang bermaruah, negara adalah amanah, bersama memimpin membawa jenama sebagai negara maju yang amanah dan integriti,” katanya.