Home Koronavirus Covid-19: 19,105 kes baharu positif, 71 kematian

Covid-19: 19,105 kes baharu positif, 71 kematian

0
Covid-19: 19,105 kes baharu positif, 71 kematian

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 19,105 kes baharu positif Covid-19 pada Ahad menjadikan jumlah kumulatif kes adalah 3,993,124 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah berkenaan melibatkan 18,713 kes tempatan dan 386 kes import.

“Bagi pecahan daripada jumlah tersebut, sebanyak 8,267 kes atau 43.27 peratus adalah daripada pesakit Covid-19 kategori satu, sementara 10,645 kes atau 55.72 peratus adalah pesakit kategori dua.

“Bagi kategori tiga, terdapat 81 kes (0.42 peratus), kategori empat dengan 44 kes (0.23 peratus) dan bagi kategori lima adalah sebanyak 68 kes (0.36 peratus),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan jumlah keseluruhan 193 kes bagi pesakit kategori tiga hingga lima, 58 kes dilaporkan tidak divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian berkenaan.

“78 kes pula sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi tidak menerima dos penggalak. Sebanyak 57 kes pula sudah menerima dos penggalak.

“Selain itu, 92 kes melibatkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas. 81 kes lagi mempunyai komorbid dan tiada melibatkan kes ibu mengandung.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak satu kluster baharu direkodkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif sebanyak 304.

“Sebanyak 371 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 158 daripadanya disahkan Covid-19 manakala kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan pula adalah sebanyak 213,” katanya.

Jelas beliau, bagi kes memerlukan bantuan pernafasan pula, sebanyak 203 kes dilaporkan dengan 95 kes disahkan Covid-19 dan 108 lagi kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan negara merekodkan sebanyak 28,250 kes sembuh menjadikan jumlah kumulatif kepada 3,684,665 kes setakat ini.

Dalam pada itu, KKM turut merekodkan sebanyak 71 kematian baharu akibat Covid-19.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 26 kes adalah kematian di luar hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).

Menurut laman sesawang CovidNow, ia menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negara ini disebabkan oleh virus berkenaan adalah sebanyak 34,400.

Sementara itu, bagi kategori BID pula, jumlah keseluruhan adalah sebanyak 7,225 kes.

Laporan berkenaan turut memaklumkan bahawa purata sebanyak 28 orang daripada sejuta populasi kematian akibat Covid-19 di negara ini direkodkan bagi tempoh dua minggu lepas.

Kedah menjadi negeri tertinggi purata kematian setakat ini dengan purata 60 kematian, diikuti Perlis dengan 59 dan Perak (58).

Dalam masa yang sama, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) ialah 58.4 peratus dan penggunaan alat bantuan pernafasan sekitar 33 peratus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here