Home Rasuah Busters Jadi calon PRU15, Wan Azliana lepas jawatan dalam Rasuah Busters

Jadi calon PRU15, Wan Azliana lepas jawatan dalam Rasuah Busters

0
Jadi calon PRU15, Wan Azliana lepas jawatan dalam Rasuah Busters
Wan Azliana

BANGI – Mengelak timbul sebarang spekulasi dan imej tidak baik kepada Rasuah Busters, Pengerusi Rasuah Busters Selangor dan Wilayah Persekutuan mengambil keputusan melepaskan jawatan dalam gerakan antirasuah tersebut.

Peguamcara, Wan Azliana Wan Adnan berkata, peletakan jawatan tersebut dibuat serta-merta setelah menerima watikah pelantikan sebagai calon Gerakan Tanah Air (GTA) bagi Parlimen Batu pada hari ini.

Beliau yang juga seorang aktivis berkata, keputusan itu diambil mengambil kira pasukan Rasuah Busters sebagai sebuah gerakan non-partisan atau tidak berparti.

“Pada hari ini GTA telah menamakan saya sebagai seorang calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Menghormati syarat yang ditetapkan oleh Rasuah Busters, dengan penuh kefahaman bahawa saya, Wan Azliana Wan Adnan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Rasuah Busters Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan serta-merta.

“Keputusan rela hati ini dibuat agar gerakan Rasuah Busters dapat diteruskan secara bebas merentas ideologi politik,” katanya kepada kru Rasuah Busters pada Rabu.

Mengulas lanjut, Wan Azliana berkata, beliau akan tetap meneruskan agenda bebaskan Malaysia daripada budaya rasuah melalui platform legislatif atau perundangan pula selepas ini dengan izin ALLAH SWT.

Tegas anak jati Terengganu itu, tekadnya adalah satu iaitu membasmi salah guna kuasa dan amalan rasuah di seluruh lapisan masyarakat

Selain itu katanya, dengan penuh harapan besar untuk melihat budaya antirasuah akan dapat disemai dan dituai dengan berjaya demi negara tercinta.

“Gerakan membebaskan negara dan rakyat daripada budaya rasuah yang telah berakar umbi sehingga kesejahteraan hidup dan kemakmuran ekonomi negara terjejas merupakan salah satu keutamaan saya selaku aktivis masyarakat.

“Saya juga telah memulakan usaha memerangi rasuah dengan menyuarakan cadangan agar pesalah rasuah dijatuhkan hukuman tambahan iaitu sebatan beberapa tahun lalu.

“Sangat bersyukur usaha seumpama ini telah semakin besar gerakannya sejak wujudnya organisasi Rasuah Busters dan ia harus diteruskan sehingga amalan dan budaya rasuah dapat dihentikan dengan jaya,” katanya.

Tambahnya lagi, melalui pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (Aswa) yang melibatkan beliau selaku Pengasas dan Pengerusi, pertubuhan itu telah menjadi sebagai rakan gabungan kepada Rasuah Busters Malaysia.

Jelasnya, banyak rakan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Selangor dan Wilayah Persekutuan telah mula aktif menyertai Rasuah Busters selama setahun ini.

“Selaku bekas Pengerusi Rasuah Busters Selangor dan Wilayah Persekutuan, saya berkeyakinan penuh gerakan ini akan kekal dengan iltizam membasmi rasuah.

“Untuk itu, saya ingin mengambil ruang yang ada ini untuk merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada seluruh sahabat Rasuah Busters khususnya Selangor dan Wilayah Persekutuan yang telah memberikan komitmen amat baik dalam merangka serta melaksanakan aktiviti kempen kesedaran antirasuah bersama saya selaku Pengerusi selama ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here