Home Rasuah Busters Isu rasuah perlu ditangani bersama

Isu rasuah perlu ditangani bersama

Isu rasuah perlu ditangani bersama

SHAH ALAM – Forum belia menangani rasuah sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini membuktikan organisasi berkenaan masih lagi meletakkan keperluan menangani masalah rasuah dalam kalangan golongan muda.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli berkata, dengan tema memerangi rasuah melalui organisasi, PBB mahu memastikan usaha memerangi rasuah tidak meminggirkan peranan anak muda bagi memastikan ia dapat ditangani secara bersama.

“Seramai 313 peserta yang terlibat itu berminat berkongsi pandangan yang sama bahawa gejala rasuah harus ditangani bersama,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Farhan merupakan seorang daripada empat wakil Malaysia yang menyertai forum secara maya berlangsung selama tiga hari bermula 24 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Farhan yang juga Ahli Parlimen Belia Malaysia berkata, antara perkongsian diterima menerusi forum berkenaan ialah peranan golongan muda bukan hanya sekadar menerima arahan.

“Mereka perlu memainkan peranan yang efektif bagi memastikan usaha memerangi rasuah ini dapat dilakukan bersama sama,” kata beliau.

Tambahnya, menerusi forum itu turut dibincangkan bagaimana unsur kesihatan juga mempunyai elemen rasuah.

Beliau turut berkongsi bahawa bagi memerangi rasuah dalam sektor pengurusan kesihatan, adalah penting jika ada perkongsian pintar membabitkan pihak kerajaan dan sektor swasta.

“Kita perlu telus. Contohnya dalam pengagihan vaksin perlu ada ketelusan. Kenapa lambat dan sebagainya,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Farhan berkata, menerusi forum itu juga dibincangkan pentingnya pendidikan integriti yang berkaitan dengan nilai etika, akhlak dan moral dalam kalangan generasi muda.

“Generasi muda juga seharusnya diberikan latihan pendidikan bagi terlibat dalam pembuatan polisi membabitkan pembasmian rasuah,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here