Home Rasuah Busters Isu rasuah dalam khutbah Jumaat

Isu rasuah dalam khutbah Jumaat

0
Isu rasuah dalam khutbah Jumaat

SHAH ALAM – Isu mengenai rasuah perlu ditekankan dalam khubat Jumaaat dan ceramah agama bagi memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya umat Islam

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, pendekatan itu boleh membantu memerangi rasuah supaya gejala itu dapat dibendung secara holistik.

Katanya, platform khutbah Jumaat boleh digunakan untuk memberi kesedaran kepada umat Islam tentang masalah sosial itu yang semakin membarah.

“Paling penting semua pihak perlu bekerjasama untuk sama-sama mainkan peranan bagi membendung gejala rasuah di negara ini. Penceramah agama juga ada peranannya begitu juga dengan pihak-pihak lain,” katanya kepada Sinar Harian pada pada Ahad.

Menurutnya, jabatan agama negeri juga boleh mengeluarkan arahan kepada penceramah di masjid atau surau agar menyelitkan unsur kesedaran memerangi rasuah dalam setiap ceramah agama.

“Mereka juga boleh mengadakan ceramah khusus berkaitan korupsi ini supaya masyarakat sedar bahawa rasuah dilarang dalam agama dan harta yang diperoleh daripada sumber itu adalah haram.

“Sebagai umat Islam, mereka perlu sedar bahaya rasuah dalam masyarakat kerana jika gejala itu berleluasa, ia boleh menghancurkan sistem sesebuah negara dan merosakkan masyarakat itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, topik rasuah perlu dibawa dalam kuliah agama, ceramah dan khutbah Jumaat secara berterusan bagi meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai isu itu.

“Isu rasuah bukan perkara baharu dan kerap dibincangkan malah ia sudah menjadi ‘penyakit berjangkit’ kerana sifat manusia yang mahu hidup senang dengan cara yang mudah.

“Dalam Islam kita diajar mempunyai sifat qanaah iaitu menerima apa yang ada. ALLAH SWT beri rezeki cukup, semua sudah ditetapkan rezeki masing-masing, nak rezeki kena usaha dan sumbernya juga kena halal,” katanya.

Beliau berkata, peringatan mengenai rasuah perlu dilakukan setiap masa dan pendakwah serta khatib perlu memainkan peranan yang penting.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad pula berkata, walaupun rasuah sering menjadi topik dalam ceramah tetapi dalam konteks semasa ketika ini, seeloknya isu berkenaan disebut secara lebih meluas.

Jelasnya, peringatan menjauhi rasuah cukup penting untuk disampaikan kepada masyarakat mengikut kesesuaian masa.

“Amanah merupakan tonggak dalam Islam. Sebagai pendakwah, ustaz, ustazah yang mengajar masyarakat tentang agama, mereka juga perlu mempunyai ciri-ciri ini untuk diberi keutamaan,” katanya.

Menurut Yahya, sekiranya soal amanah tidak ditekankan, pastinya sikap yang berlawanan kepada amanah iaitu khianat akan berleluasa.

“Apabila seseorang itu melakukan khianat kepada amanah yang diberikan maka akan merosakkan dan menghancurkan ummah itu sendiri.

“Kebiasaannya majlis-majlis seperti kelas takmir, kuliah agama dan ceramah-ceramah seperti Maulidur Rasul memang tidak lari daripada konteks amanah.

“Penceramah apabila berbicara tentang Nabi Muhammad SAW memang akan mengulangi mengenai sifat amanah. Ini kerana Nabi Muhammad SAW cukup terkenal dengan sifat amanahnya.

“Penceramah sentiasa menekankan soal rasuah tetapi kita tidak bercakap lebih terperinci melibatkan individu tetapi akan berikan peringatan untuk masyarakat menjauhi rasuah,” katanya.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad ketika dihubungi berkata, isu rasuah wajar diketengahkan ketika sesi ceramah untuk memberi ingatan kepada masyarakat agar tidak lupa tentang keburukannya.

“Masyarakat seharusnya memahami maksud rasuah kerana dalam hadis ada menyebutkan pemberi dan penerima rasuah itu ditempatkan dalam neraka.

“Kedua-duanya perlu dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya seterusnya menjadi pengajaran kepada masyarakat umum,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, khutbah Jumaat antara saluran yang digunakan dalam usaha memberi kesedaran kepada umat Islam tentang jijiknya perbuatan rasuah.

“Jabatan Mufti, bahkan para asatizah telah lama membacakan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW memperihalkan besarnya dosa rasuah ini, bahkan dibaca dalam khutbah-khutbah Jumaat, namun iman manusia tidak berada pada paras yang serupa dan tidak sedikit nafsu mengalahkan wahyu yang dibaca.

“Memang kita setuju agar ceramah atau kuliah memberi tumpuan terhadap usaha membanteras rasuah,” katanya.

Organisasi

Pada masa sama, Zamri berkata, ceramah agama berkaitan rasuah perlu diperluaskan ke pejabat dan agensi kerajaan terutama agensi-agensi yang mudah terdedah kepada jenayah rasuah.

Katanya, gejala rasuah ini masih boleh dibendung dengan syarat semua pihak bersungguh-sungguh membenci rasuah ini.

“Semua organisasi sama ada kerajaan, swasta, bahkan parti-parti politik perlu terlebih dahulu membersihkan organisasinya daripada individu yang terlibat dalam rasuah.

“Pemimpin-pemimpin politik yang terpalit dengan rasuah hendaklah disingkirkan kerana ada dalam kalangan mereka dijadikan ikon oleh pengikut masing-masing,” katanya.

Jelas beliau, pendidikan mengenai rasuah perlu dimulakan seawal di peringkat kanak-kanak dan penguatkuasaan serta hukuman berat disediakan untuk pemberi, penerima dan perantara rasuah.

Pada 16 Januari lalu, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub melancarkan kempen atau gerakan yang dinamakan sebagai Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa bagi membanteras gejala rasuah dan membina semula negara.

Ia merupakan satu gerakan reformasi moral daripada rakyat untuk rakyat dan negara tanpa melibatkan sebarang agenda politik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here