SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu terus diperkasakan agar menjadi satu badan bebas tanpa dicampur aduk dengan kes membabitkan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.
Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, rakyat Malaysia tidak perlu terus obses terhadap isu tersebut, sebaliknya menumpukan perkara lebih besar iaitu membasmi rasuah secara keseluruhannya.
Menurutnya, proses undang-undang berkenaan isu itu juga perlu terus berjalan tanpa desakan agar Azam direhatkan untuk masa terdekat.
“Kita perlu hormati proses undang-undang, ketika ini kita lihat siasatan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berjalan, dan Parlimen juga akan bersidang.
“Pada saya, sekiranya siasatan menentukan bahawa Azam perlu disiasat, maka ketika itu Azam perlu direhatkan. Nasihat saya kepada pegawai SPRM lain jangan sibuk untuk mempertahankan atau menjatuhkan Azam.
“SPRM sendiri perlu terus melaksanakan siasatan terhadap isu-isu lain, dan diperkasakan agar menjadi badan yang bebas,” katanya ketika sidang akhbar Rasuah Busters, Solusi Transformasi SPRM di Studio F, Kumpulan Media Karangkraf, di sini pada Khamis.
Hussamuddin yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf berkata, kes membabitkan Azam hanya pencetus yang perlu dijadikan petunjuk agar enam tuntutan politik #MalaysiaTanpaRasuah yang dikemukakan Rasuah Buster pada 11 September 2021 diperkasakan.
Katanya, tuntutan itu digerakkan bersama Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Transparency International Malaysia (TI-M), Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Undi 18 dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).
“Pelaksanaan Undi 18 sudah dibuat, jadi ada lima lagi tuntutan termasuk pelaksanaan dan sokongan penuh ke atas Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dan mempercepatkan pembentangan dan pelaksanaan Akta Pembiayaan Dana Politik.
“Kami juga menuntut memastikan kebebasan dan ketelusan institusi, antaranya SPRM dan Jabatan Peguam Negara.
“Selain itu, Pilihan Raya Pecat sebagai alternatif segera kepada Akta Anti Lompat Parti perlu diadakan serta melaksanakan reformasi Parlimen,” katanya.