GOMBAK – Isteri perlu memantau akaun keluarga bagi memastikan sumber pendapatan suami adalah telus dan tidak datang daripada hasil rasuah.
Ketua Koordinator Projek Kumpulan Chantique, Fatimah Pardi berkata, ia bagi memastikan wang diperoleh suami untuk menyara keluarga daripada sumber yang halal.
“Untuk memastikan suami dan anak tidak terjebak dengan rasuah, satu benda yang kita kena pastikan seandainya tiba-tiba suami ada duit banyak, perlu tanya daripada mana duit datang. Apa yang membuatkan dia menerima duit tersebut? Sama juga dengan anak.
“Sebagai seorang ibu dan isteri, kena sentiasa memantau kewangan keluarga,” katanya kepada Sinar Harian selepas majlis forum yang bertajuk ‘Rasuah Membarah, Negara Pasti Musnah’ di sini pada Rabu.
Chantique merupakan salah satu kumpulan pelajar di Akademi Kepimpinan Wanita di bawah Wanita Berjaya Selangor.
**media[2103013]**
Forum anjuran kumpulan tersebut turut mendapat kerjasama daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Rasuah Busters.
Tambah Fatimah, tanpa mengira kaum, nilai keagamaan perlu diterapkan bagi mengelakkan seseorang individu terjebak dengan perbuatan tersebut.
“Agama sebagai tunjang. Kalau ikut landasan yang betul, kita tidak akan terlibat dengan gejala ini,” ujarnya.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Norhayati Nordin berkata, semua individu tidak mengira usia, pangkat, agama adalah penentang rasuah.
Jelasnya, cabaran terbesar untuk mengurangkan gejala itu adalah pelaku tidak menyedari akan tindakan yang dilakukan merupakan rasuah.
“Kadang-kadang, kita tidak menyedari apa yang kita lakukan itu adalah rasuah. Jadi, ia menjadi budaya.
“Permulaan rasuah adalah daripada tindakan yang tidak menjaga akhlak, berbohong dan sebagainya,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Outreach, Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ab Muneim Ibrahim berkata, badan penguat kuasa tersebut akan terus memberi pendidikan kepada orang ramai berkaitan bahayanya rasuah.
Jelasnya, pendidikan telah diberikan sejak kecil iaitu bermula dari prasekolah sehingga ke universiti dalam memastikan perbuatan itu tidak terus dilakukan.