Home Rasuah Busters Integriti benteng budaya rasuah

Integriti benteng budaya rasuah

Integriti benteng budaya rasuah

KUANTAN – Integriti merupakan benteng utama ke arah bebas rasuah dan kecemerlangan sesebuah kerajaan serta organisasi.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang, Hairuzam Mohammad Amin @ Hamim berkata, individu yang berintegriti tidak akan membiarkan kepentingan diri mengatasi kepentingan organisasi dan awam.

Menurutnya, nilai integriti perlu dizahirkan dalam semua tindakan dan amalan sama ada melalui penampilan, sikap dan semasa membuat sesuatu keputusan.

“Melalui Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, memupuk tadbir urus yang baik dalam entiti korporat antara enam bidang keutamaan yang menjadi teras dalam memerangi jenayah rasuah di negara ini.

“Seiring dengan hasrat NACP itu, tadbir urus korporat secara umum merujuk kepada sistem peraturan, amalan dan proses tentang bagaimana sesebuah organisasi korporat diterajui serta dikawal dengan mengambil kira kepentingan pelbagai pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Ikrar Bebas Rasuah dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah syarikat milik penuh Majlis Ugama Islam dsn Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Muip Holding Sdn Bhd (MHSB) di sini pada Khamis.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MHSB, Ahmad Mustaqim Mohd Zain.

Hairuzam berkata, melalui NACP, MHSB dapat menerapkan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti serta tadbir urus yang baik apabila autoriti atau kuasa yang ada.

“Perkara ini akan menjadi asas dalam usaha untuk menghapuskan rasuah dan membentuk ekosistem bebas rasuah untuk generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Mustaqim berkata, Majlis Ikrar Bebas Rasuah dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah yang julung kali dilaksanakan itu sebagai usaha dalam mengukuhkan matlamat bebas rasuah di dalam organisasi tersebut.

Menurutnya, membangunkan sebuah organisasi dengan nilai integriti dan tadbir urus yang baik merupakan satu tanggungjawab besar.

“Keruntuhan integriti akan membawa kepada berlakunya kepincangan termasuk amalan rasuah dan pecah amanah yang akan memberikan impak besar kepada individu, keluarga dan organisasi itu sendiri.

“Saya yakin inisiatif ini penting dalam mengorak langkah ke arah organisasi yang mampan, bebas rasuah dan menjalankan perniagaan berlandaskan lunas undang-undang yang sah,” katanya.

“Saya yakin setiap warga kerja MHSB dan anak-anak syarikat akan sentiasa memperkasakan budaya integriti yang tinggi sepanjang berkhidmat.

“Lebih membanggakan sekiranya warga kerja MHSB dapat memperkasakan budaya berintegriti itu dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here