GEORGETOWN – [KEMAS KINI] Golongan pemimpin yang diberi kepercayaan untuk mengendalikan urusan rakyat sama ada dalam jabatan kerajaan atau syarikat-syarikat tertentu yang ada kaitan dengan kerajaan dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan gejala rasuah.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, gejala itu dilihat seolah-olah sudah membarah di dalam negara membabitkan pelbagai sektor termasuk golongan pemimpin.
Menurutnya, perkara itu menyebabkan rakyat di negara ini risau dan cemas apabila mengikuti laporan berita sejak kebelakangan ini mengenai gejala rasuah tersebut.
“Selaku mufti, saya rasa terpanggil untuk memberi sedikit pandangan berkaitan isu ini, setidak-tidaknya dapat dijadikan panduan dan nasihat kepada masyarakat Islam dari sudut hukum syarak.
“Dosa dengan ALLAH SWT mungkin diampun dengan taubat, namun dosa kepada manusia termasuk mengambil hak mereka secara batil tidak akan terampun.
“Sementara kesempatan masih ada ini, maka hentikan perbuatan terkutuk itu dan mohon kemaafan kepada mereka yang teraniaya selama ini disebabkan anda telah mencerobohi hak-hak mereka dengan rasuah,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Katanya lagi, kebebasan untuk setiap individu dalam memiliki harta kekayaan sebagai salah satu hak asasi kemanusiaan tidak sepatutnya disalahgunakan.
Bagaimanapun Wan Salim berkata, kebebasan yang diberikan kepada semua individu itu disyaratkan agar ia tidak memudaratkan kepentingan umum.
“Kecenderungan kepada pemilikan harta benda merupakan satu naluri semula jadi manusia. Agama Islam sebagai agama yang selari dengan fitrah manusia memang mengiktiraf kebebasan setiap individu untuk memiliki harta kekayaan sebagai salah satu hak asasi kemanusiaan.
“Bagaimanapun sebagaimana di dalam bidang-bidang lain, kebebasan yang diberikan kepada individu adalah disyaratkan ia tidak memudaratkan kepentingan umum,” katanya.
Katanya lagi, dari sudut lain, walaupun Islam tidak melarang umatnya daripada mencari kekayaan, namun Islam mengingatkan mereka supaya tidak terpedaya dengan harta benda yang dimiliki sehingga terlupa untuk mengingati ALLAH SWT serta menjaga hukum hakam yang ditetapkan di dalam agamaNya.
“Islam meletakkan di atas bahu golongan hartawan tanggungjawab sosial untuk membantu saudara seagama dan anggota masyarakat lain yang miskin supaya mereka juga dapat menjalani kehidupan yang selesa tanpa dibelenggu dengan kesengsaraan yang tidak berkesudahan.
“Mungkin juga kerana kesibukan mengejar kekayaan dan kemewahan hidup, ada yang terlalai tentang sifat sementara kehidupan dunia ini. Perlu ingat, keinginan yang melampau kepada harta dunia sering mendorong seseorang untuk mengambil hak orang lain secara batil yang dilarang syariat Islam,” katanya.
Tambah beliau, keinginan itu merupakan nafsu amarah yang sentiasa mengajak kepada kekejian dan menjerumuskan seseorang ke jurang dosa.
“Fahamilah bahawa perbuatan memberi dan menerima rasuah dikutuk oleh ALLAH SWT dan RasulNya.
“Pelaku rasuah dipandang hina oleh masyarakat di dunia ini, sementara di akhirat kelak, akan dihumban ke dalam seksaan neraka yang amat dasyat,” katanya.