Home Rasuah Busters Hapuskan rasuah hingga akar umbi

Hapuskan rasuah hingga akar umbi

0
Hapuskan rasuah hingga akar umbi
Peserta memberi tumpuan ketika ceramah disampaikan.
Nurhayati menjadi panel pada Konvensyen Tadbir Urus Berintegriti yang diadakan di Bangi Golf Resort. – Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

BANGI – Penerapan nilai membenci rasuah boleh bermula dari rumah, justeru peranan ibu bapa dituntut bagi merealisasikan matlamat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#Rasuah Busters), Nurhayati Nordin berkata, ibu bapa boleh menjadi contoh di rumah kerana merupakan golongan paling dekat dengan anak-anak.

“Perubahan kepada negara ini (benci rasuah) bermula dari rumah, dan jika kita amati bibit rasuah tanpa kita sedari juga boleh bermula dari rumah.

“Dalam hal ini peranan ibu bapa amat signifikan dalam membentuk nilai moral karakter bangsa anak-anak mereka, dan hasrat untuk menghapuskan rasuah hingga akar umbi insya-ALLAH mampu dilakukan,” katanya ketika menjadi panel sempena Konvensyen Tadbir Urus Berintegriti yang berlangsung di Bangi Golf Resort pada Khamis.

Konvensyen yang berlangsung selama sehari itu anjuran Persatuan Profesional Kewangan Muslim Malaysia (MFP) dengan kerjasama Pertubuhan IKRAM Malaysia, Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (SPE UPM).

Dalam pada itu beliau berkata, kisah sejarah Tembok Besar China yang berjaya dibolosi musuh melalui pintu utama sebanyak tiga kali angkara rasuah perlu menjadi iktibar.

**media[2062623]**

“Musuh masuk bukan perlu meruntuhkan tembok itu, sebaliknya cukup dengan hanya memberi rasuah kepada ‘penjaga’ pintu masuk, sebab itulah rasuah boleh meruntuhkan, hatta sebuah tamadun besar boleh runtuh gara-gara rasuah,” tegasnya.

Justeru katanya, semua golongan masyarakat mempunyai peranan masing-masing dalam menjadi titik penyambung kepada usaha membanteras rasuah di negara ini.

“Kita sebenarnya saling melengkapi serta saling memberi keseimbangan, kita tidak mampu untuk lakukan sendirian (hapus rasuah), insya-ALLAH sesuatu perubahan yang dinamik dan ideal boleh kita lakukan yang penting adalah semua pihak memainkan peranan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Rasuah Busters, beliau berkata, gerakan yang memasuki dua tahun penubuhannya telah sedaya upaya ‘menyentuh’ hati rakyat Malaysia dengan mengunjungi hampir satu negara dalam tekad menyampaikan mesej antirasuah kepada rakyat.

Katanya, Rasuah Busters bukan sekadar kempen semata-mata sebaliknya satu gerakan besar untuk memperkukuh sistem operasi insan yang akan membina sebuah sistem nilai dan memberi mesej kepada masyarakat supaya bersama-sama memerangi rasuah.

“Kami merupakan gerakan dari rakyat demi rakyat untuk memulihkan dan membentuk transformasi dan integriti dengan menghapuskan kereputan akhlak dan segala bentuk korupsi.

“Kami juga cuba membentuk kebangkitan rakyat agar menentang najis rasuah yang telah menjadi pandemik dan merosakkan rakyat dan negara. Kempen kami menekankan nilai-nilai integriti yang melahirkan moral dan karakter bangsa yang bertamadun dan berjaya,” tegasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here