SHAH ALAM – Undang-undang dana politik dan antilompat parti perlu digubal segera sekiranya negara ingin mencapai sifar rasuah.
Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, tindakan itu perlu diambil bagi membolehkan perubahan khususnya agenda memerangi rasuah dapat dilaksanakan.
“Saya rasa ia (undang-undang dana politik dan anti lompat parti) harus diperkenalkan kerana ini puncanya (rasuah).
“Selain itu, keluarga khususnya ibu bapa kena tanamkan balik sistem moral dalam keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu Leaders Speakeasy ‘Integriti dan Empati Dalam Kepimpinan’ yang disiar secara langsung menerusi saluran televisyen Astro Awani pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan yang perlu dilaksanakan bagi membolehkan kempen Rasuah Busters mencapai sifar rasuah.
Mengulas lanjut, Hussamuddin yang juga Pengerusi Kumpulan Karangkraf berkata, selain menggubal undang-undang dana politik dan anti lompat parti, sikap rakyat yang menjadi pemilih kepada pemimpin juga perlu diperbetulkan.
“Ia perlu dilakukan serentak, kita betulkan individu yang akan memilih pemimpin dan kita juga kena buat undang-undang yang lebih ketat,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Hussamuddin berkata, usaha untuk membanteras rasuah bukan hanya terletak di bahu pemimpin semata-mata tetapi rakyat juga perlu memainkan peranan yang setara.
“Jadi, untuk betulkan ini (banteras rasuah), kita kena betulkan sistem moral kita sendiri, pegangan moral masyarakat kita,” katanya.
Dalam pada itu, Hussamuddin menggesa barisan kepimpinan dari semua parti politik di negara ini duduk bersama untuk membincangkan masalah serta kemelut dihadapi rakyat.
Katanya, pemimpin tanpa mengira apa jua parti, pemimpin harus bersatu hati dan sepakat dalam mencari penyelesaian terbaik kepada rakyat ekoran pandemik Covid-19.
“Sudah tiba masanya untuk semua barisan kepimpinan parti di negara ini mengenepikan ego masing-masing demi kesejahteraan rakyat dan negara khususnya.
“Jika benar pemimpin yang berfikir tentang rakyat, mereka pastinya akan melupakan politik seketika. Mereka akan duduk bersama-sama dan mengenepikan perbezaan politik demi rakyat.
“Fikir bagaimana mahu mengeluarkan negara daripada masalah Covid-19, bukannya asyik sibuk berpolitik setiap masa,” katanya.
Mengulas lanjut, Hussamuddin berkata, sejak isu Covid-19 melanda dunia dalam tempoh setahun setengah lalu, barisan kepimpinan negara termasuk dari pihak pembangkang terlalu mementingkan politik masing-masing.
“Jangan kita salahkan kerajaan sahaja tetapi dari pihak pembangkang juga gagal memainkan peranan yang sepatutnya.
“Jika kedua-dua belah pemimpin parti politik berfikir tentang rakyat, mereka pastinya tidak akan mengambil kesempatan tetapi sekarang dua-dua pihak cuba ambil kesempatan,” katanya.
Jelas beliau, masyarakat di negara Malaysia tercinta ini terlalu kuat berpolitik dan semua benda mahu dipolitikkan.
Menurutnya, ketika mana rakyat tertekan dilanda musibah pandemik Covid-19, parti-parti politik yang ada seharusnya tidak mengambil kesempatan untuk bertindak menjatuhkan mana-mana pihak.