SHAH ALAM – #RasuahBusters menggesa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tampil dan bertanggungjawab untuk menyatakan pendirian bagi meleraikan kekusutan rakyat.
Ketua Sekretariat #RasuahBusters, Nurhayati Nordin berkata, konflik kepentingan membabitkan dakwaan pegawai tinggi SPRM adalah isu etika yang harus diperhatikan bukan saja oleh SPRM tetapi semua pimpinan politik, badan berwajib dan organisasi.
Gesaan itu susulan peletakan jawatan Profesor Dr Edmund Terence Gomez sebagai ahli panel perundingan SPRM selepas mendakwa panel itu gagal membincangkan laporan-laporan yang membabitkan pegawai-pegawai tinggi di suruhanjaya berkenaan.
Gomez dalam surat letak jawatannya yang tular di media sosial berkata, timbul persoalan mengenai ‘hubungan antara perniagaan dan pihak penguat kuasa dan situasi ‘konflik kepentingan’ membabitkan pegawai tinggi serta dakwaan bahawa pegawai itu memiliki saham.
Menurutnya, bekas pegawai tinggi SPRM didakwa terbabit dalam situasi konflik kepentingan, sekali gus mencadangkan ‘ada suatu trend di institusi itu (SPRM) yang mesti disiasat segera’.
“Badan-badan yang diberi kepercayaan oleh rakyat harus menunjukkan contoh yang baik dalam pematuhan terhadap polisi dan prosedur memerangi rasuah berlangsung dengan telus,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, persoalan etika yang dibiarkan tanpa dijawab menimbulkan tanggapan bahawa wujudnya manipulasi kuasa dan campur tangan dalam keputusan yang didasarkan atas kepentingan peribadi dan ini jelas mengganggu gugat kewibawaan sesebuah organisasi.
“Kita bimbang jika institusi yang seharusnya dihormati ini terus memberikan gambaran negatif, rakyat akan hilang kepercayaan dan lebih buruk lagi mengambil keputusan sendiri, ini sudah tentu menggugat keharmonian dan merosakkan imej negara.
“Negara ini perlu pulih dan ia harus bermula daripada kepimpinan dan badan yang mempraktikkan amanah dan integriti,” katanya lagi.