Home Rasuah Busters Gesa kerajaan wujudkan syarat khusus kepada calon wakil rakyat

Gesa kerajaan wujudkan syarat khusus kepada calon wakil rakyat

Gesa kerajaan wujudkan syarat khusus kepada calon wakil rakyat

SHAH ALAM – Nastia Youth Club (NYC) menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri merangka syarat khusus kepada individu yang mahu menjadi wakil rakyat dalam usaha mencegah aktiviti rasuah.

Presiden NYC, Wan Muhammad Nurhanis Wan Pazilah berkata, kerajaan perlu menyediakan modul khas tersebut bagi membentuk syarat khas kepada bakal pemimpin Melayu Islam sebagai wakil rakyat.

“Syarat-syarat tersebut ialah seorang wakil rakyat itu perlu menghafal satu surah dan khatam al-Quran.

“Selain itu, mereka perlu memahami dan membaca surah al-Fatihah dengan betul serta mampu menjadi imam ketika solat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Wan Muhammad Nurhanis berkata, setiap modul kepimpinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pula perlu diselitkan dengan input tarbiah dalam memastikan ilmu tersebut seimbang dengan tugasan duniawi.

“Ini kerana setiap manusia itu berilmu tetapi yang membezakan manusia yang cerdik dan jahil ialah manusia yang tahu dan ambil tindakan berbanding yang tahu tetapi ingkar.

“Sarjana Barat juga menyebut, jika nak jaga keharmonian sesebuah negara perlu memberi keutamaan kepada pendidikan, kesihatan dan ketenteraan maka tidak akan berlaku kemunduran,” ujarnya.

Dalam pada itu, NYC menyambut baik usaha sama Gabungan Belia Rasuah Busters melibatkan NGO di negara ini untuk memerangi rasuah dalam kalangan belia.

Katanya, usaha itu perlu disertai bukan sahaja agensi kerajaan tetapi termasuk NGO yang mewakili rakyat, bangsa dan agama yang berbeza.

Pada 27 Februari lalu, Majlis Belia Malaysia dan Sinar Harian melancarkan Gabungan Belia Rasuah Busters sebagai satu kerjasama untuk menjayakan kempen Rasuah Busters yang dilancarkan pada 16 Januari lalu.

Gabungan Belia Rasuah Busters merupakan satu gerakan bebas melibatkan lebih daripada 67 kumpulan belia di seluruh negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here