Home Rasuah Busters Gerakan antirasuah SIRIM patut dicontohi

Gerakan antirasuah SIRIM patut dicontohi

0
Gerakan antirasuah SIRIM patut dicontohi
Hussamuddin

SHAH ALAM – Rasuah Busters menyambut baik keprihatinan SIRIM Berhad (SIRIM) menangani isu integriti dan amalan rasuah dengan melancarkan Rasuah Busters SIRIM Chapter di semua cawangannya di seluruh negara.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, langkah proaktif yang dilaksanakan oleh SIRIM itu disifatkan sebagai tindakan tepat terutama memerangi isu ketirisan di dalam sesebuah jabatan atau agensi kerajaan.

Beliau berkata, menjadi satu perkara penting terutama SIRIM melancarkan gerakan antirasuah dalam kalangan petugas ekoran syarikat tersebut terlibat dalam menentukan standard piawaian melibatkan banyak aspek di negara ini.

“Rasuah Busters berharap dengan terjalinnya kerjasama ini, SIRIM boleh mengangkat satu standard baharu di dalam operasi dan tentang tadbir urus syarikat itu dalam usaha menangani kemungkinan berlakunya isu rasuah.

“Sekiranya SIRIM berjaya membentuk satu standard baharu yang berjaya dipraktikkan dengan baik meningkatkan lagi kesedaran dalam kalangan petugas, maka capaian sama juga boleh diguna pakai oleh organisasi dan jabatan lain,” katanya kepada kru Rasuah Busters di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program SIRIM Green Day 2022 yang berusaha untuk mempromosi aspek Enviromental, Social and Governance (ESG) bagi menjaga bumi.

Majlis perasmian SIRIM Green Day 2022 dan pelancaran Rasuah Busters SIRIM Chapter telah disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad.

Mengulas lanjut, Hussamuddin berkata, selain boleh diangkat sebagai satu mekanisme baharu yang baik untuk sistem perolehan dan tadbir urus, standard yang berjaya dihasilkan oleh SIRIM itu boleh menjadi permulaan baharu yang cukup penting untuk menangani isu rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau berkata, tindakan yang diambil oleh SIRIM itu bukan sahaja baik dalam meningkatkan jumlah agensi kerajaan yang mengamalkan antirasuah, tetapi dalam masa yang sama akan berjaya memupuk tahap kesedaran tinggi dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Tambah beliau, semakin banyak syarikat atau organisasi yang menyokong usaha digerakkan oleh Rasuah Busters memerangi budaya rasuah dan isu integriti.

Jelas beliau, perkembangan baik yang dicapai itu bukan sahaja satu perkembangan yang sangat positif, malah menjadi satu dorongan baik kepada Rasuah Busters untuk bekerja dengan lebih keras lagi bagi memberi kefahaman serta kesedaran kepada orang ramai.

“Kita di Rasuah Busters telah menjalankan kempen antirasuah sejak hampir dua tahun lalu dan gerakan ini kini telah menampakkan hasil.

“Sambutan hebat telah berjaya diterima daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi besar seperti SIRIM yang berkelobarasi pada hari ini.

“Ini merupakan satu perkembangan yang sangat positif, sekali gus menyemarakkan lagi langkah Rasuah Busters memalaysiakan gerakan ini untuk menentang perbuatan rasuah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here