SHAH ALAM – Gejala rasuah untuk mendapatkan tender projek daripada kerajaan di negara ini wajar ditangani segera.
Presiden Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (Mapim) Kebangsaan, Datuk Abd Rasid Nopiah berkata, pengalamannya bekerja sebagai kontraktor selama dua tahun sebelum ini membolehkan beliau melihat sendiri betapa seriusnya gejala itu.
Tegasnya, rasuah berlaku secara terang-terangan terutama dalam persaingan untuk mendapatkan tender projek kerana lazimnya kontraktor yang tidak kuat melobi akhirnya akan gigit jari.
“Untuk melobi, selain ganjaran diberi dalam bentuk peratusan daripada nilai projek, ada yang beri hadiah kepada penjawat awam dalam bentuk material seperti minyak wangi berjenama, komputer riba, kamera, kereta dan sebagainya.
“Orang suruhan untuk hantar hadiah-hadiah itu adalah budak pejabat.
“Ada juga ganjaran yang diberi dalam bentuk tolong gantikan tayar, servis kenderaan dan sebagainya. Disebabkan keadaan inilah saya tidak lagi jadi kontraktor sekarang,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Ahad.
Sementara itu, Abd Rasid mengesyorkan supaya subjek antirasuah diperkenalkan di peringkat sekolah menengah.
“Pendekatan ini adalah untuk mendidik anak-anak agar benci rasuah yang boleh memberi 1,001 kemudaratan kepada manusia.
“Di peringkat universiti pula, kita boleh panggil tokoh-tokoh masyarakat untuk beri ceramah mengenai rasuah kerana mereka yang akan menjadi pemimpin pelapis.
“Usaha untuk melahirkan insan yang berintegriti perlu bermula di peringkat sekolah lagi,” katanya.