Home Rasuah Busters GBM sokong tuntutan Rasuah Busters

GBM sokong tuntutan Rasuah Busters

0
GBM sokong tuntutan Rasuah Busters
Badlishah

SHAH ALAM – Kerajaan terus didesak supaya mengambil kira empat lagi tuntutan pasukan #Rasuah Busters dalam memastikan demokrasi di negara ini menjadi lebih matang.

Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Badlishah Sham Baharin berkata, walaupun kerajaan sudah meluluskan Rang Undang- Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar atau lompat parti, namun tuntutan lain harus menyusul.

Menurut beliau, ia termasuk pelaksanaan dan sokongan penuh terhadap Pelan Antirasuah Nasional (NACP), penggubalan Akta Pembiayaan Dana Politik, kebebasan institusi dan melaksanakan Reformasi Parlimen.

“Alhamdulillah pada Khamis lalu, kerajaan telah meluluskan Akta Lompat Parti dengan sokongan 95 peratus ahli Parlimen. Ini sememangnya merupakan satu petanda baik dan mematangkan demokrasi di negara ini.

“Akan tetapi kita berharap ia bukan berakhir di sini sahaja. Tuntutan lain pun perlu diikuti supaya rakyat lebih yakin dengan sistem demokrasi negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian sebagai menyokong kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin yang mana terdapat empat lagi tuntutan #RasuahBusters yang harus diberi perhatian bagi mengembalikan kestabilan politik melalui usaha pemulihan integriti di negara ini.

Jelas Nurhayati, penggubalan akta pendanaan politik, kebebasan institusi, reformasi Parlimen dan pelaksanaan penuh pelan antirasuah nasional tidak boleh ditangguhkan.

Sementara itu ketika menyentuh soal kebebasan institusi, Badlishah berkata, terdapat dua perkara yang perlu diberi penekanan, antaranya dengan meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Parlimen dan bukan di bawah eksekutif supaya ia menjadi lebih telus dan tidak ada pengaruh politik.

“Kedua, mengasingkan kuasa pendakwa raya dan peguam negara. Ini kerana kedua-dua fungsi ini berbeza dari skopnya.

“Sebab itu, kita tuntut supaya pisahkan kedua-dua institusi ini seperti mana diamalkan di United Kingdom. Pendakwa raya memang dipisahkan dari peguam negara,” tegas beliau.

Badlishah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan #Rasuah Busters dan rakan-rakan gabungan kerana satu daripada enam tuntutan yang dikemukakan sejak September tahun lalu akhirnya mendapat perhatian daripada kerajaan.

“Diharap kerjasama dilakukan ketika ini akan terus membuahkan hasil,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here