Home Rasuah Busters Finas sedia beri kerjasama kepada polis, SPRM

Finas sedia beri kerjasama kepada polis, SPRM

0
Finas sedia beri kerjasama kepada polis, SPRM

SHAH ALAM – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan berlaku penyelewengan Dana Kandungan Digital (DKD) kategori Dana Filem Cereka bernilai lebih RM40 juta.

Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid berkata, pengarah dan penulis skrip filem, Mohd Asri Alias, 46, yang membuat pendedahan itu cuba mengaitkan kontroversi itu dengan pihak pengurusan Finas.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan tersebut kerana tidak mahu mengganggu siasatan polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Perkara ini sudah jadi kes SPRM, maka kami (Finas) tidak akan memberi sebarang komen berhubung isu ini.

“Saya bimbang kenyataan yang dikeluarkan mengganggu siasatan pihak berkuasa. Namun kami (Finas) akan memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Pendirian sama turut disuarakan oleh Timbalan Pengerusi Finas, Datuk Norman Abdul Halim.

“Tiada komen. Biar siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa,” ujarnya membalas pesanan ringkas yang diajukan kepada beliau.

Pelaksanaan inisiatif DKD merupakan usaha berterusan Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Finas bagi memastikan kelangsungan para penerbit, tenaga produksi dan penggiat industri kreatif yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

Pengagihan dana itu diharap dapat menggalakkan penghasilan, penerbitan dan penyebaran kandungan kreatif yang berdaya cipta tinggi selain mengoptimumkan potensi industri kandungan kreatif di pasaran domestik dan global.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here