PETALING JAYA – Doodle Battle Rasuah Busters memperlihatkan pelbagai hasil kreativiti peserta yang menarik dan di luar kotak sekali gus berjaya membawa mesej antirasuah.
Exco Persatuan Tadika Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, inisiatif tersebut berpotensi dapat diperkembangkan dengan lebih baik melalui seni sebagai salah satu platform untuk Rasuah Busters.
“Hasil karya para peserta itu sangat di luar jangkaan kita di mana mereka dapat mengadaptasikan daripada point (maksud) kita tentang Rasuah Busters itu, mereka terjemahkan kepada hasil seni yang sangat halus tetapi beri mesej yang sangat jelas.
“Dari segi tahap peserta itu, bagi saya daripada kanak-kanak berumur 10 tahun sehingga dewasa mereka berikan kefahaman yang jelas tentang rasuah dan mereka menghasilkannya dalam bentuk seni.
“Maksud saya ia sangat luar biasa kerana adaptasi yang diberikan oleh mereka iaitu Rasuah Busters, bagi saya tema ini sangat berat tetapi mereka dapat hasilkan dalam seni yang sangat cantik dan luar biasa,” katanya pada Ahad.
Ulas Hamdan Daniel, usaha mempromosikan kempen Rasuah Busters melalui kerjasama dengan cabang seni harus diteruskan pada masa akan datang.
“Kalau kita boleh gunakan seni lukisan sebagai sahabat dalam memperjuangkan kempen Rasuah Busters mungkin selepas ini kita boleh gunakan juga medium-medium berlainan.
“Mungkin boleh guna seni suara, lakonan dan sebagainya. Seni itu luas dan ia boleh merentas seluruh ideologi,” ujar beliau.