Home Rasuah Busters Didik rakyat benci rasuah

Didik rakyat benci rasuah

0
Didik rakyat benci rasuah

KUANTAN – Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Rasuah Busters Pahang berusaha mendidik masyarakat antirasuah dengan melaksanakan kempen memerangi jenayah itu di negeri ini.

Pengerusi Rasuah Busters Pahang, Ir Dr Mohamad Rizza Othman berkata, gabungan NGO yang ditubuhkan ini berhasrat memberi pendidikan melalui penyampaian mesej antirasuah kepada masyarakat.

“Ini adalah masa yang tepat untuk menggerakkan kempen memerangi rasuah dengan memberikan pendidikan di peringkat akar umbi sehingga ke peringkat atasan.

“Saya yakin dengan penglibatan semua pihak termasuk golongan profesional dan orang awam, dapat membantu mendidik masyarakat untuk bersikap antirasuah,” katanya ketika ditemui dalam pertemuan bersama NGO sempena Konvoi#RasuahBusters ke Pahang pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin.

Mengulas lanjut, Dr Mohamad Rizza yang merupakan Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) berkata, kefahaman mengenai rasuah perlu disampaikan secara berterusan bagi memastikan budaya rasuah benar-benar bersih.

“Saya yakin apabila usaha ini (memberi pendidikan) dibuat secara kolektif, sudah pasti saya impak itu akan lebih tersebar meluas lagi,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Lui Kwee Tang Kuan, Ong Tee Tock pula mengakui nilai rasuah perlu diterapkan kepada semua golongan supaya ia menjadi peringatan kepada semua.

Menurutnya, usaha ini bukan sahaja dapat membendung sekali gus membantu masyarakat membenci rasuah.

“Saya memang sokong gerakan Rasuah Busters ini dan menyertainya untuk membantu membanteras rasuah serta mahu menjadikan Malaysia sebuah negara maju bebas rasuah.

“Gabungan NGO Rasuah Busters Pahang yang berperanan untuk mendidik masyarakat seharusnya ke sekolah-sekolah bagi memberi ilmu serta kesedaran akibat rasuah,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu memainkan peranan mereka untuk berusaha mengurangkan birokrasi ini dan tidak mengharapkan NGO sahaja.

“Jangan bergantung pada NGO sahaja, sebaliknya pihak kerajaan perlu meneliti perkara ini sebab ia (rasuah) boleh memudaratkan negara,” ujarnya.

Timbalan Pengerusi Rasuah Busters Pahang, Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, gabungan terbabit mampu mendidik masyarakat di Pahang supaya anti rasuah dengan merancang pelbagai pendekatan di peringkat akar umbi.

“Hari ini, sebanyak 10 NGO terlibat dalam gabungan ini dan kita jangka gabungan ini akan berkembang di setiap daerah,” katanya.

Pengerusi pertubuhan Kebajikan Darul Makmur, Ali Akbar Othman juga senada dengan pandangan Wan Emril yang melihat gabungan NGO Rasuah Busters Pahang mampu membantu memahamkan orang awam tentang bahaya rasuah.

“Bila ada ruang sebegini, kita tidak boleh berada ditakuk lama, sebaliknya perlu membuka ruang seluasnya untuk memberi penerangan kepada masyarakat supaya lebih faham.

“Kita yakin penglibatan NGO dan mahasiswa dalam gabungan ini memudahkan urusan perkongsian maklumat dengan masyarakat,” katanya.

Reaksi

Ahmad Zulhairi Azhar (Yang Dipertua Ikatan Pelajar Islam Pahang)

“Gabungan NGO dalam Rasuah Busters ini mampu membuat satu perubahan dalam masyarakat kerana Rasuah Basters bukan bergerak sendiri, sebaliknya bergerak sebagai sebuah pasukan kuat. Gabungan ini menghimpunkan pandangan dan idea daripada banyak pihak serta sudah pasti mendapat satu formula terbaik yang boleh jadikan strategi untuk memerangi rasuah itu sendiri.

——

Abdul Aziz Abd Rahman (Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Pahang)

“Ini satu usaha kolaboratif yang sangat baik yang digerakan bersama atas dasar keluarga bersama kita bendung isu rasuah di pelbagai peringkat. Malah kepelbagaian persatuan yang terdapat dalam gabungan Rasuah Buster ini kit mampu rasuah dapat dibanterasnya,”.

—–

Wakil NGO Geha Bodhi, Keshminder Singh,

“Apa yang dilakukan oleh Rasuah Buster adalah satu usaha murni.NGO dan orang ramai perlu menyokong kempen ini kerana ia mampu menyelamatkan negara dari musnah. Kalau boleh beri satu perlindung kepada masyarakat untuk mereka mendedah pelaku rasuah,”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here