Home Rasuah Busters Dana khusus tingkat kelancaran proses hebahan

Dana khusus tingkat kelancaran proses hebahan

0
Dana khusus tingkat kelancaran proses hebahan

SHAH ALAM – Satu dana khusus perlu diperuntukkan bagi memastikan hebahan meluas Undi 18 secara tepat dan terkini dapat digerakkan secara lebih efektif bagi mencapai matlamat pelaksanaannya.

Pengarah Advokasi dan Pengasas Bersama Undi 18, Tharma Pillai berkata, dana khusus tersebut dilihat mampu memperkasakan lagi usaha kerajaan dalam memberi kefahaman jelas kepada orang ramai mengenai Undi 18.

Katanya, menerusi dana tersebut, pelbagai program terus kepada orang ramai dapat dijalankan termasuk melakukan jelajah ke seluruh negara.

“Kita mahu melihat ada outreached kepada golongan sasaran terutama golongan remaja dan pengundi baharu Undi 18 dapat dicapai sepenuhnya.

“Ia penting dalam memberi kefahaman jelas betapa penting pelaksanaan Undi 18 kepada proses pilihan raya umum (PRU) di negara ini, sekali gus mendorong golongan pengundi baharu ini keluar mengundi pada PRU,” katanya.

Tharma berkata, masih terdapat jurang besar antara masyarakat di bandar dan kawasan luar bandar terhadap pemahaman pelaksanaan Undi 18.

Menurutnya, tidak dinafikan masih terdapat pemahaman kurang jelas tentang kepentingan Undi 18 dalam kalangan orang ramai yang berada di luar bandar atau kawasan pedalaman.

Jelasnya, sekiranya perkara seumpama itu berlaku, ia boleh menggagalkan usaha menarik remaja seawal usia 18 tahun untuk keluar mengundi dan membuat pemilihan tepat memilih barisan kepimpinan negara.

“Kita mahu lihat adalah generasi muda faham akan kepentingan mereka untuk keluar mengundi dan undi mereka sangat penting dalam memilih barisan kepimpinan negara.

“Penglibatan anak muda dalam bidang politik membuatkan mereka lebih menyayangi negara serta memahami sosio politik negara demi melihat Malaysia maju dan makmur,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here